Ahad, 13 Februari 2022 | 6:00pm
Khai menunjukkan kematangan dalam pelbagai aspek seiring pembabitan enam tahun dalam industri muzik ketika menjayakan Konsert Nafas Cinta Khai Bahar, semalam. - Foto Ihsan Nova Music
Khai menunjukkan kematangan dalam pelbagai aspek seiring pembabitan enam tahun dalam industri muzik ketika menjayakan Konsert Nafas Cinta Khai Bahar, semalam. - Foto Ihsan Nova Music

Khai kikis rasa malu, bijak berinteraksi

KUALA LUMPUR: Penyanyi Khai Bahar, 27, akhirnya berjaya merealisasikan impian konsert solo yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama, semalam.

Menerusi Konsert Nafas Cinta Khai Bahar anjuran Nova Music, Khai yang pernah mencipta hatrik merangkul trofi Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) selama tiga tahun tahun berturut-turut menunjukkan kematangannya dalam pelbagai aspek.

Kematangan dilihat seiring pembabitan enam tahun dalam industri muzik. Menerusi konsert berdurasi dua jam, Khai mendendangkan 17 lagu termasuk dua lagu duet bersama Adira dan Aina Abdul.

Dalam tempoh itu, Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin dilihat sudah pandai menepis rasa malu dan bijak berinteraksi, bergurau senda serta mempamerkan mutu vokal baik.

"Pengalaman mematangkan saya. Dahulu, setiap kali persembahan saya dikritik, mana tak okay. Saya ambil peluang untuk sentiasa memperbaiki diri.

"Malah, faktor kesihatan seperti bersenam untuk stamina dititik beratkan. Tidur cukup, makan terjaga dan cuba elak sakit.

"Kalau selama ini bahagian nyanyian tertentu masih ada kekurangan termasuk nada tinggi, kini saya cuba mengimbanginya. Saya rasa boleh menyanyi, jadi, kena ada inisiatif untuk menjadi lebih baik.

"Dahulu, saya jenis pemalu dan segan. Namun, saban hari saya mencabar diri. Pentas berlakon juga menjadi ruang untuk saya memberanikan diri dan keluar daripada zon selesa," katanya kepada BH Online.

Khai memperdengarkan single duet baharu bersama Adira berjudul Pejam. - Foto Ihsan Nova Music
Khai memperdengarkan single duet baharu bersama Adira berjudul Pejam. - Foto Ihsan Nova Music

Pada konsert fizikal yang dihadiri 300 penonton dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu, Khai turut memperdengarkan single duet baharu bersama Adira berjudul Pejam.

Karya ciptaan Audi Mok dan Shazee itu dipersembahkan selepas berduet menerusi lagu Takdir Tercipta. Ia akan dilancarkan dalam tempoh yang terdekat.

"Single Pejam Lagu diperoleh, empat hari lalu. Ia antara lagu terakhir yang dipilih daripada beberapa pilihan lagu lain dalam masa yang sangat suntuk. Ia belum dirakamkan betul-betul.

"Adira jenis yang cepat mesra, seperti sudah kenal lama. Pilihan berduet dengan Adira atas saranan Nova Music.

"Dahulu ketika baru berjinak dalam bidang nyanyian, Ombak Rindu antara lagu disukai. Masa itu, saya masih berada di tingkatan 4.

"Lagu Pejam ini boleh dikaitkan dengan banyak perkara termasuk pergelutan hidup ketika era COVID-19. Ia mengetengahkan kisah bagaimana jika ada masalah, apa jadi pun tidak boleh mengalah atau kena kuat mengharunginya," katanya.

Khai dan Aina turut mencuri tumpuan apabila mendendangkan lagu Nafas Cinta yang bakal melangkah ke pentas AJL 36 pada 6 Mac depan. - Foto Ihsan Nova Music
Khai dan Aina turut mencuri tumpuan apabila mendendangkan lagu Nafas Cinta yang bakal melangkah ke pentas AJL 36 pada 6 Mac depan. - Foto Ihsan Nova Music

Selain itu, duet Khai bersama Aina turut mencuri tumpuan menerusi lagu Nafas Cinta yang bakal melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 pada 6 Mac depan.

"Jika berduet dengan Aina, saya akan tersenyum sendiri. Saya pun pelik kenapa jadi begitu.

"Apapun, saya teruja mendengar susunan baharu lagu duet ini untuk AJL 36. Kemungkinan besar kami mengetengahkan konsep fantasi," katanya.

Pada konsert yang turut dipancarkan secara virtual, Khai turut mempersembahkan tayangan video muzik rasmi single solo terbaru, Damba yang menjalani penggambaran di Perlis.

Khai turut mendendangkan lagu Bayang, Luluh, Dari Jauh Saja, #123 dan Hati Nyawa. Selain itu, Khai menyanyikan dua lagu medley iaitu Wajah Kekasih (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Bukan Dia Tapi Aku (Judika).

Konsert Konsert Nafas Cinta Khai Bahar disokong oleh MyCreative Ventures, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Berita Harian X