Ahad, 13 Februari 2022 | 1:00pm
Fazley mahu memperlihatkan kepada umum, selain handal di dapur, berkebolehan dalam bidang nyanyian. - Foto IG Fazley Yaakob
Fazley mahu memperlihatkan kepada umum, selain handal di dapur, berkebolehan dalam bidang nyanyian. - Foto IG Fazley Yaakob

Fazley bukti mampu menyanyi sambil memasak

KUALA LUMPUR: "Untuk 2022, saya mahu memasak atau menyanyi. Suka atau tidak, biarlah. Saya mahu melakukan dua kerja ini sebab ia adalah rezeki."

Demikian pengakuan penyanyi dan cef popular, Datuk Fazley Yaakob mengenai persoalan orang ramai mengenai apa yang mahu dilakukan, menyanyi mahupun memasak.

Kata Fazley, dia mahu memperlihatkan pada umum, selain handal di dapur, dirinya juga berkebolehan menyanyi.

"Saya mahu membesarkan lagi jenama Fazley Yaakob. Sebelum ini, orang nampak Fazley Yaakob sebagai 'master chef', tetapi selepas penyertaan dalam program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim kelapan, ia membuka mata orang ramai saya juga berkebolehan menyanyi.

"Saya bukan nak cakap saya penyanyi hebat, tetapi saya boleh menyanyi secara sederhana. Cukuplah, itu sudah membuatkan saya gembira.

"Jadi, saya mahu 'kahwinkan' perkataan master chef dan penyanyi supaya orang ramai nampak saya sebagai 'Singing Master Chef'. Itulah sasaran saya, tahun ini," katanya kepada BH Online.

Dengan itu, Fazley mengatakan, dia sedang dalam proses pembikinan album ketujuh, sekali gus membuktikan dirinya serius kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Fazley bersama isteri, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz dan anak bongsu, Alayna Selma yang menyokong kerjaya sebagai penyanyi. - Foto IG Fazley Yaakob
Fazley bersama isteri, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz dan anak bongsu, Alayna Selma yang menyokong kerjaya sebagai penyanyi. - Foto IG Fazley Yaakob

Dalam masa yang sama, Fazley berkata, persembahan Yang Sedang Sedang Saja yang diadakan di Suka Sucre Bistro, Hartamas, baru-baru ini juga antara salah satu cara memperlihatkan dirinya tukang masak yang juga penyanyi.

Mengulas lanjut, Fazley berkata, dia menganjurkan persembahan berskala kecil itu kerana mahu mengotakan janji terhadap peminat ketika menyertai GV8.

"Selepas habis GV8, ramai bertanya adakah saya mahu mengadakan showcase. Sebab, GV8 adalah pertandingan dan ramai pengikut dalam laman sosial mahu lihat saya menyanyi dalam persembahan terbuka.

"Saya berjanji mengadakan showcase selepas tamat program realiti itu. Untuk mengotakan janji, saya buat showcase C khas untuk peminat.

"Seingat saya konsert terakhir saya bersama Tomok di Brunei Darussalam kira-kira sepuluh tahun lalu.

"Jadi, saya tampil dengan showcase ini sebagai salah satu cara menyambut kedatangan 2022. Saya mahu memberitahu orang ramai yang juga seorang 'Singing Master Chef'.

"Dalam masa yang sama, saya menghidangkan penonton dengan hidangan menarik yang dirasakan sesuai untuk tema persembahan," katanya.

Menerusi persembahan itu, Fazley membawakan 22 lagu. Antaranya Bila April, Beautiful Maria, Luluh dan Yang Sedang Sedang Saja.

Berita Harian X