Selasa, 8 Februari 2022 | 10:25pm
Sepanjang lima dekad mengabdikan diri dalam dunia, Hail membintangi banyak filem antaranya Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib. Foto IG Hail Amir

Syukur diiktiraf ketika hayat masih ada - Hail Amir

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1970-an, Datuk Hail Amir, 74, menyifatkan pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara di sini, pagi tadi, sebagai suatu pengiktirafan besar.

Hail berkata, Darjah Kebesaran PMW yang dikurniakan memberi makna cukup besar apatah lagi ketika hayat masih dikandung badan selepas lima dekad mengabdikan diri dalam dunia seni.

"Saya dimaklumkan mengenai penganugerahan ini kira-kira seminggu lalu. Apabila ada pihak hendak beri anugerah, saya terima dengan hati terbuka.

"Selain penghargaan atas sumbangan yang diberi dalam dunia lakonan dan nyanyian, saya bersyukur pingat kebesaran dianugerahkan ketika hayat saya masih ada.

Hail berkongsi foto di Instagram Story (IGs) memaparkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran PMW membawa gelaran Datuk kepadanya di Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara, pagi tadi. Foto IG Hail Amir

"Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kerana menghargai dan tidak mengetepikan insan seni seperti kami," katanya kepada BH Online.

Berkongsi perkembangan terkini, Hail yang popular dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba memberitahu, beliau masih aktif membuat persembahan biarpun tidak sekerap dahulu.

"Setiap hujung minggu, saya menghiburkan pengunjung restoran D'Empangan Udang Galah, Putrajaya bersama penyanyi lain seperti Rohana Jali, Shidee, Razis Ismail dan ramai lagi.

"Saya bersyukur kerana pada usia begini, saya dikurniakan kesihatan baik," katanya.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Hail yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.

Lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai hingga hari ini.

Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini terkenal di layar perak. Antara filem popular lakonannya adalah Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.

Berita Harian X