Selasa, 8 Februari 2022 | 5:25pm
Aishah ketika meluahkan perasaan dalam entri Instagram (IG) sebaik menyedari klip video versi karaoke single terbaharu, Ketentuan Takdir sudah dipadam di YouTube. Foto IG Aishah
Aishah ketika meluahkan perasaan dalam entri Instagram (IG) sebaik menyedari klip video versi karaoke single terbaharu, Ketentuan Takdir sudah dipadam di YouTube. Foto IG Aishah

Klip video Aishah terpadam, syarikat rakaman akui kesilapan

KUALA LUMPUR: Isu klip video versi karaoke single terbaharu Datuk Aishah berjudul Ketentuan Takdir yang dipadam di YouTube, semalam, selesai apabila Syarikat Universal Music Malaysia (UMM) mengaku insiden itu berpunca kecuaian pihaknya.

Aishah atau nama penuh, Wan Aishah Wan Ariffin menjelaskan, UMM sudah menghubungi dan memohon maaf atas insiden yang tidak disengajakan itu.

"Mereka hubungi saya dan memohon maaf atas kecuaian yang berlaku hingga video lirik Ketentuan Takdir dipadam dari Youtube.

"Saya hanya minta tukar kapsyen video itu daripada video muzik rasmi yang ditulis kepada video lirik. Kenapa mereka padam video itu?

"Ekoran kejadian itu, video muzik yang dimuat naik pada 28 Januari lalu hilang lebih enam ribu tontonan.

Aishah berharap peminat menyokong dan menonton semula klip video lirik lagu Ketentuan Takdir yang sudah dimuat naik semula di YouTube. Foto IG Aishah
Aishah berharap peminat menyokong dan menonton semula klip video lirik lagu Ketentuan Takdir yang sudah dimuat naik semula di YouTube. Foto IG Aishah

"Bukan senang untuk penyanyi seperti saya mendapat jumlah tontonan sebanyak itu," katanya kepada BH Online.

Tambah penyanyi Janji Manismu ini, wakil label turut memberi jaminan memuat naik semula video muzik Ketentuan Takdir serta mendapatkan jumlah tontonan yang hilang.

"Mereka sudah muat naik klip video itu sejurus saya buat aduan. Setakat ini, baru dapat kumpul kira-kira 3,000 jumlah tontonan.

"Saya harap peminat akan terus memberi sokongan terhadap klip video Ketentuan Takdir," katanya.

Terdahulu menerusi perkongsian yang dibuat di IG, tengah malam tadi, Aishah meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila video muzik lagu baharunya itu dipadam.

Lebih membuatkan juara musim keempat Gegar Vaganza (GV4) ini terkilan adalah individu terbabit meletakkan video muzik lain selepas memadam klip berkenaan.

Berita Harian X