Ahad, 6 Februari 2022 | 8:30am
Single terbaharu Khai, Damba ciptaan Iqie Hugh dan Omar K dilancarkan sejak 7 Januari lalu. Foto Ihsan Seventeen Eleven Music
Single terbaharu Khai, Damba ciptaan Iqie Hugh dan Omar K dilancarkan sejak 7 Januari lalu. Foto Ihsan Seventeen Eleven Music

Khai hadiah Damba buat peminat

KUALA LUMPUR: Meneruskan 'forte' muzik, Khai Bahar tampil dengan single berentak balada, Damba yang menjadi antara runut bunyi drama Shakira lakonannya yang menemui penonton melalui slot Akasia di TV3.

Dilancarkan sejak 7 Januari lalu, Damba ciptaan Iqie Hugh dan Omar K menceritakan perihal lelaki yang menyanjungi seorang wanita hingga dapat memiliki pujaan hatinya itu.

Berkongsi lanjut mengenai single baharu itu, Khai gembira Damba terpilih melatari drama Shakira lakonannya dengan teraju utama, Janna Nick dan Shukri Yahaya.

"Alhamdulillah, sekali lagi single saya menjadi lagu tema drama bersiri. Bagi saya, ini platform terbaik dalam membantu memperkenalkan lagu ini kepada pencinta muzik tanah air.

Lagu balada dianggap sinonim dan menjadi ‘forte’ Khai sejak mula menceburi dunia nyanyian. Foto Ihsan Seventeen Eleven Music
Lagu balada dianggap sinonim dan menjadi ‘forte’ Khai sejak mula menceburi dunia nyanyian. Foto Ihsan Seventeen Eleven Music

"Kita tahu pengikut drama di slot Akasia ramai. Apabila mereka menonton drama itu, sekali gus dapat mendengar lagu ini. Jadi, dapat kumpul peminat baharu yang mungkin selama ini masih tidak kenal siapa saya," katanya.

Bagai sudah menjadi kekuatan atau 'forte' dalam produk dihasilkan, Khai atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin, 28, tidak menolak tuah lagu balada bertemakan cinta universal yang sering ditampilkan hingga dirinya dikenali ramai.

"Lagu balada membuatkan saya bolos ke pelbagai acara atau pertandingan termasuklah Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Selepas lagu Bayang dan Luluh, tahun ini saya bertanding untuk lagu duet Nafas Cinta dengan Aina Abdul pada AJL 36.

"Saya anggap lagu balada 'forte' dan bonus buat saya. Namun, saya sudah buktikan boleh menyanyikan lagu genre lain. Tetapi lagu balada juga disukai ramai.

"Saya suka menyanyikan lagu berentak balada. Malah, dari awal kemunculan, genre inilah yang memperkenalkan saya dalam industri muzik," katanya.

Khai cenderung mempelbagaikan mesej cinta dalam lagu balada kepada sesuatu yang lebih universal, bukan perasaan antara pasangan kekasih semata-mata.

Dalam perkembangan lain, Khai giat mempersiapkan diri bagi menjayakan Konsert Nafas Cinta, Khai Bahar di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac), Petaling Jaya pada 12 Februari depan.

Biarpun tiket konsert secara fizikal atau bersemuka sudah habis terjual, namun, tiket untuk tontonan atas talian atau virtual boleh dibeli di www.cloudtheatre.com.

Berita Harian X