Sabtu, 5 Februari 2022 | 1:00pm
Dayang menghiburkan kakitangan BH pada majlis Makan Malam BH di Hotel Armada, Petaling Jaya, Selasa lalu. Foto IG Dayang Nurfaizah
Dayang menghiburkan kakitangan BH pada majlis Makan Malam BH di Hotel Armada, Petaling Jaya, Selasa lalu. Foto IG Dayang Nurfaizah

Dayang gugup nyanyi depan 'otai'

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah lebih dua dekad mencipta nama, penyanyi, Dayang Nurfaizah mengakui masih diburu gementar setiap kali beraksi di hadapan penyanyi 'senior'.

Itulah yang dirasai penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu apabila membuat persembahan eksklusif pada majlis Makan Malam BH yang dianjurkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) di Hotel Armada, Petaling Jaya, Selasa lalu.

Pada majlis itu, Dayang atau nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 41, menyanyi di hadapan seorang lagi artis jemputan, Datuk Aishah.

"Sebenarnya, saya sampai bila-bila pun masih gementar, lagi-lagi berdepan dengan artis senior yang memang kita hormat seperti Datuk Aishah.

Dayang sedang mengumpul material bagi projek album baharunya. Foto IG Dayang Nurfaizah
Dayang sedang mengumpul material bagi projek album baharunya. Foto IG Dayang Nurfaizah

"Kalau boleh, saya mahu jadi macam beliau... Sampai hari ini masih bertahan dan suara masih hebat.

"Kalau dengar beliau menyanyi, sama 'key' dari dulu sampai sekarang. Jadi, saya ambil Aishah sebagai contoh untuk karier nyanyian saya," katanya kepada BH Online.

Sekalipun kredibiliti vokalnya tidak disangkal, Dayang masih merendah diri, malah bagi penyanyi Lelaki Teragung ini, itulah dirinya dan bukan dibuat-buat.

"Tidak semestinya kita boleh menyanyi, kita ini lebih daripada orang lain... Tidak. Orang itu tidak boleh menyanyi pun, dia ada bakat lain yang saya tiada. Jadi, saya anggap setiap hari ada perkara baharu yang saya belajar.

"Sebagai manusia, saya sentiasa mahu memperbaiki diri dan cuba buat yang terbaik. Bagi Dayang, apa sahaja karier kita, biar penyanyi sekalipun, sama sahaja. Cuma perjalanan kita sahaja yang berlainan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dayang berkata, dia dalam perancangan menerbitkan album baharu.

Tambah Dayang, dia sedang mengumpul bahan untuk bingkisan ke-10 itu.

"Saya sedang mencari bahan untuk album saya. Namun, masih terlalu awal untuk saya katakan bila album ini akan dilancarkan. Saya sedang menerima beberapa lagu tapi kena berbincang dan mendengarnya kembali.

"Saya mahu pilih betul-betul dan banyak perkara perlu dibuat. Buat masa sekarang, saya tiada perancangan untuk berduet. Namun, kita tidak tahu masa hadapan bagaimana pula," katanya.

Ketika penyanyi lain memilih tampil dengan single, Dayang percaya penghasilan album penuh memberi kepuasan kepada dirinya.

"Saya datang dari era di mana penyanyi menghasilkan album. Apabila kita tidak melakukannya, rasa macam tidak lengkap sebagai penyanyi.

"Saya sudah biasa, buat album seperti 'resume' saya. Selagi berkemampuan, mengapa tidak. Tapi kita kena ikut juga cara sekarang, misalnya menghasilkan single dahulu," katanya.

Mengulas mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang akan berlangsung tidak lama lagi, Dayang yang tidak asing di pentas itu mengakui tiada nasihat tertentu kepada pesaing, sebaliknya mahu berpesan agar mereka berseronok.

"Seperti yang saya kongsi bersama Siti Nordiana, berseronok, 'belasah' dan buat yang terbaik untuk diri sendiri. Rasa gementar itu perkara biasa. Sebaiknya, jika tiada perasaan gugup itu yang sebenarnya luar biasa," katanya.

Ditanya siapa calon finalis kegemarannya, Dayang berkata, semua peserta ada kekuatan tersendiri yang melayakkan mereka mara ke pentas berprestij itu.

"Setiap penyanyi yang menyertai AJL mahu lakukan yang terbaik. Semua mahu tunjuk yang terbaik pada malam itu. Jadi saya rasa tidak adil kalau saya memilih.

"Saya percaya sekarang semua peserta sudah mula sibuk fikir apa yang mereka mahu buat (di pentas akhir). Usaha setiap peserta itu perlu kita hargai," katanya.

Dayang pernah meraih trofi juara AJL31 melalui lagu Lelaki Teragung dan AJL33 menerusi lagu duet bersama Hael Husaini iaitu Haram.

Selain itu, Dayang mencipta hatrik dalam kategori Vokal Terbaik pada AJL 29, 30 dan 31.

Berita Harian X