Sabtu, 5 Februari 2022 | 11:00am
Adira sibuk menguruskan keperluan tiga permata hatinya dan lebih banyak memberi tumpuan kepada keluarga. Foto IG Adira Suhaimi
Adira sibuk menguruskan keperluan tiga permata hatinya dan lebih banyak memberi tumpuan kepada keluarga. Foto IG Adira Suhaimi

Adira sibuk dengan anak-anak

KUALA LUMPUR: Lebih banyak berkongsi mengenai bisnes, selain membuat ulasan produk berbayar di Instagram (IG) sejak akhir-akhir ini, Adira Suhaimi menafikan sedang memperlahankan karier seni.

Sebaliknya, penyanyi berasal dari Ranau, Sabah ini memberitahu, situasi semasa penularan pandemik COVID-19 membuatkan hasrat tampil dengan single baharu, terbantut.

Kali terakhir penyanyi berusia 30 tahun itu tampil dengan single, kira-kira setahun lalu, melalui lagu Kesempatan Bagimu untuk projek runut bunyi drama Tercipta Satu Ikatan.

Adira berkata, pandemik COVID-19 mendorong dia mencari pendapatan sampingan sebagai persediaan untuk masa depannya bersama anak-anak.

"Terus-terang tahun lalu, saya tidak terfikir langsung menghasilkan lagu baharu kerana tidak bebas untuk bergerak. Jika merancang merakamkan lagu, saya kena keluar untuk menghadiri sesi perbincangan, mencari material dan sebagainya.

Dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan pembukaan semula industri kreatif, Adira sedia merakamkan single baharu, tahun ini. Foto IG Adira Suhaimi
Dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan pembukaan semula industri kreatif, Adira sedia merakamkan single baharu, tahun ini. Foto IG Adira Suhaimi

"Dengan pergerakan yang terbatas akibat Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta larangan merentas daerah, pastinya proses menyiapkan lagu terganggu. Jadi, saya buat keputusan tidak merakamkan lagu selepas single Kesempatan Bagimu," katanya kepada BH Online.

Selain itu, tambah Adira, tiada kebebasan untuk menjayakan sesi promosi di televisyen (TV) dan radio juga menjadi antara sebab dia tidak tampil dengan bingkisan baharu, tahun lalu.

"Insya-Allah, andai ada rezeki, saya berhasrat merakamkan lagu baharu tahun ini selepas melihat keadaan yang semakin pulih," katanya yang popular dengan lagu Ombak Rindu.

Adira tidak menyangka niat mencuba bidang perniagaan memberi pengalaman menyeronokkan.

Bagaimanapun, bukan bermakna ibu muda kepada tiga cahaya mata iaitu Anggrek, 5, Asan, 4, dan Anggun, 3, ingin melupakan bidang nyanyian.

Adira masih menyayangi dunia nyanyian yang memperkenalkan namanya, malah, Adira masih menerima banyak tawaran menjayakan persembahan korporat.

Namun, disebabkan kisahnya jarang terpampang dalam media, banyak pihak menganggap naib juara musim kelapan program realiti, Akademi Fantasia (AF8) sudah tidak aktif menyanyi.

"Kalau boleh, saya mahu bidang nyanyian dan perniagaan seiring. Saya perlukan perniagaan sebagai 'back up' untuk masa depan saya dan anak-anak.

"Saya mohon doa agar kekal sihat untuk terus berkarya dan membesarkan anak-anak. Setakat ini, tidak pernah terfikir hendak memperlahankan kerjaya seni.

"Saya berterima kasih kepada peminat yang tidak jemu menyokong saya. Alhamdulillah, kewujudan media sosial sangat membantu saya untuk terus relevan di mata peminat," katanya yang pernah digelar Ratu Soundtrack.

Berita Harian X