Sabtu, 5 Februari 2022 | 8:30am
Keluarga bahagia Fasha dan Aidil. Foto IG Fasha Sandha
Keluarga bahagia Fasha dan Aidil. Foto IG Fasha Sandha

Suami mahu 'baby boy' - Fasha Sandha

KUALA LUMPUR: Sibuk dengan tiga anak, Fasha Sandha belum sedia hamil lagi biarpun suami, Aidil Aziz, teringin menimang cahaya mata lelaki.

Menyerahkan soal zuriat kepada rezeki Allah, Fasha melihat tempoh beberapa tahun lagi paling ideal untuk dirinya berbadan dua.

Fasha menganggap tempoh beberapa tahun lagi sebelum usia mencecah 40 tahun paling ideal untuk dirinya hamil lagi. Foto IG Fasha Sandha
Fasha menganggap tempoh beberapa tahun lagi sebelum usia mencecah 40 tahun paling ideal untuk dirinya hamil lagi. Foto IG Fasha Sandha

"Andai Tuhan beri rezeki hamil lagi, saya terima. Namun, umur saya 37 tahun. Mungkin sebelum usia 40 tahun, saya boleh mengandung lagi... Mujur suami memahami," katanya kepada BH Online.

Melalui perkahwinan pertama, Fasha dikurniakan dua anak iaitu Putra Rayfal dan Putri Rasyha Jemyma. Bersama Aidil, pasangan itu beroleh Aisha Amaira yang dilahirkan pada 7 Ogos 2020.

Fasha atau nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan tidak kisah dikurniakan seorang lagi anak kerana sukakan kanak-kanak.

"Sejak zaman anak dara saya suka kanak-kanak. Dahulu, kalau ada masa lapang, saya sanggup bawa anak jiran jalan-jalan.

"Namun, sekarang, cukuplah tiga anak. Hendak tambah anak, lambat lagi. Aidil ada beritahu dia mahukan 'baby boy' pula, tahun ini.

"Namun, sejujurnya, saya belum sedia. Saya sibuk dengan komitmen seni dan duta produk," katanya yang dilantik duta produk dan pengguna setia serbuk vitamin C, Gebu Glow, baru-baru ini.

Sementara itu, Fasha terus menjaga disiplin dan komited dalam karier seni sebagai kunci untuk terus kekal dan relevan.

Berkongsi rahsia, Fasha berkata, rutin sebagai ibu, isteri dan anak bermula sesudah subuh.

"Alhamdulillah, saya tidak pernah lewat dalam menghadiri janji temu atau sebarang komitmen sepanjang 16 tahun dalam dunia seni. Mungkin kerana saya bermula sebagai model sejak berusia 18 tahun.

"Ketika itu, kebanyakan 'call time' bermula antara jam 4 atau 5 pagi. Orang 'sedap' tidur kami sudah mula bertugas memulakan solekan dan sebagainya.

"Jadi, mungkin sudah terbiasa dan terbawa-bawa sampailah sekarang. Biarpun pulang lewat dan tidak cukup tidur, saya tetap bangun awal," katanya.

Tambah pelakon filem Cicakman itu, dia menasihatkan adik, Elisya yang juga pelakon, untuk melakukan perkara sama.

"Saya selalu ingatkan Elisya jaga waktu. Jika terlambat, dia akan beri kesan kepada nama saya. Namun, Alhamdulillah, Elisya dengar kata.

"Saya juga selalu berpesan kepadanya agar jangan berlagak diva. Ada rezeki lebih, belanja kru makan. Itu caranya untuk kita disenangi ramai," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan dirinya sebagai duta serbuk vitamin C, Gebu Glow yang diusahakan dua beradik, Wawa dan Awien, Fasha memuji usaha mereka mahu membantu wanita termasuk suri rumah dan ibu tunggal mencari pendapatan.

"Saya dan adik-beradik pernah hidup susah dan melihat Mama 'bergelut' membesarkan kami tanpa ayah di sisi. Teringat kenangan lalu, saya terpanggil membantu mereka," katanya.

Berita Harian X