Jumaat, 4 Februari 2022 | 3:00pm
Zainal memiliki reputasi utuh selepas lebih empat dekad mengabdikan diri dalam dunia seni tempatan. Foto IG Zainal Abidin
Zainal memiliki reputasi utuh selepas lebih empat dekad mengabdikan diri dalam dunia seni tempatan. Foto IG Zainal Abidin

Usah pinggirkan bakat tempatan - Zainal Abidin

KUALA LUMPUR: Lebih empat dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, seperkara yang menggusarkan bintang 'otai', Datuk Zainal Abidin, 62, adalah kecenderungan pelbagai pihak termasuk penggiat industri mengagungkan bakat dari luar negara, berbanding pengkarya tempatan.

Zainal yang cukup popular dengan single Hijau yang dilancarkan pada 1991 berpendapat, penggiat seni dari luar negara tidak perlu 'diangkat' tinggi atau lebih daripada bakat tempatan seperti yang dilihat berlaku dalam penerbitan program realiti yang mengundang juri dan peserta dari negara asing.

Zainal mengaku tidak 'nampak' keperluan penerbit program realiti berbuat demikian, sedangkan hakikatnya penyanyi dan bakat tempatan sukar mendapat peluang untuk menembusi pasaran di negara seberang.

"Kita terlalu baik hati dan sangat mengagungkan orang luar lebih daripada bangsa sendiri serta orang kita teraniaya.

"Bakat tempatan sukar meraih peluang di negara jiran, tidak seperti artis mereka. Bakat kita dipandang rendah, tetapi kenapa kita masih mengagungkan mereka?

Zainal berpendapat juri program realiti perlu bersikap telus agar penonton tidak mempertikai kredibiliti mereka. Foto Arkib NSTP
Zainal berpendapat juri program realiti perlu bersikap telus agar penonton tidak mempertikai kredibiliti mereka. Foto Arkib NSTP

"Memang tidak dinafikan mereka bagus, namun biar bagus mana sekali pun, kita hanya boleh menghormati tanpa perlu mengagumi," katanya kepada BH Online.

Zainal berkata, luahannya bukan pandangan peribadi semata-mata, malah dikongsi rakan seperjuangan dan segelintir netizen yang tidak berpuas hati apabila bakat dari negara jiran 'diangkat' berbanding seniman tempatan.

Dakwa Zainal, selain mengambil bakat dan juri dari luar negara, sesetengah penerbit program realiti bersikap 'berat sebelah' apabila memilih peserta bersandarkan paras rupa semata-mata.

Ditanya apakah kenyataan dibuat berkait dengan kemenangan Aliff Aziz yang menjuarai musim kelapan Gegar Vaganza (GV8), baru-baru ini, Zainal bagaimanapun tidak mempertikaikan kemenangan penyanyi berasal dari Singapura itu, sebaliknya, menganggap sebagai rezeki.

Namun, soal Zainal, apakah penyanyi tinggi lampai itu lebih baik daripada lima peserta lain sehingga membolehkan dia diangkat juara?

"Persoalannya, apakah mereka mencari penyanyi yang baik atau penyanyi yang memiliki rupa paras elok?

"Saya tiada tentangan dengan pemilihan Aliff, itu rezeki dia. Tetapi apakah dia penyanyi terbaik pada malam itu?" katanya.

Zainal berpendapat, juri program realiti perlu bersikap telus agar penonton tidak mempertikai kredibiliti mereka, lebih-lebih lagi apabila timbul isu konon keputusan bocor dan tular.

"Saya menyaksikan program itu dari awal. Bagi saya, ada lagi peserta yang lebih layak untuk berada dalam kedudukan juara.

"Sebagai penggiat yang sudah dalam industri, saya berpendapat kebanyakan peserta menyanyi sumbang tetapi juri masih mengatakan nyanyian mereka baik," katanya.

Zainal berkata, industri hiburan tidak seharusnya dipolitikkan kerana menyifatkan perkara itu boleh menghancurkan profesionalisme industri seni yang didakwanya sudah lama terumbang-ambing.

Berita Harian X