Khamis, 3 Februari 2022 | 4:57pm
Khai sempat menghadiri majlis pertunangan teman baiknya, Zaki di Kota Bharu, Kelantan, semalam. Foto Ihsan Zaki Azeman
Khai sempat menghadiri majlis pertunangan teman baiknya, Zaki di Kota Bharu, Kelantan, semalam. Foto Ihsan Zaki Azeman

Zaki bertunang dengan Raa Suzuran

KUALA LUMPUR: Pelakon Zaki Azeman, 28, bertunang dengan gadis pilihan hati, Raa Suzuran, 23, semalam.

Majlis berlangsung selepas Zohor di kampung halaman Raa di Kota Bharu, Kelantan. Majlis dihadiri keluarga dan kenalan rapat.

Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu adalah teman baik Zaki, Khai Bahar.

Zaki atau nama penuh, Muhamad Zaki Azeman berkata, tunangnya adalah adik kepada selebriti media sosial, Jaa Suzuran.

"Kami pilih tarikh 2.2.22 sebab angkanya cantik untuk diingati.

Khai, Zaki, Raa dan Jaa pada majlis pertunangan di Kota Bharu, Kelantan, semalam. Foto Ihsan Zaki Azeman
Khai, Zaki, Raa dan Jaa pada majlis pertunangan di Kota Bharu, Kelantan, semalam. Foto Ihsan Zaki Azeman

"Insya-Allah kami merancang mendirikan rumah tangga selepas Aidilfitri ini," katanya kepada BH Online.

Anak jati Perlis yang mula dikenali selepas membintangi drama, Isteri Bukan Untuk Disewa arahan Osman Ali ini percaya soal rezeki, sebaik bergelar tunangan orang.

"Ada yang bertanya tidak takut bertunang dan berkahwin ketika karier masih hijau. Saya percaya soal itu berbalik kepada rezeki dan tuah.

"Urusan jodoh adalah ketentuan-Nya. Mana yang baik, saya jalani sebaik mungkin," katanya.

Calon awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu berkata, dia mula mengenali Raa sejak hampir empat tahun lalu.

"Raa bekerja sebagai penstrim di laman sosial dan menjadi 'influencer' atau pempengaruh.

"Kami berkenalan melalui media sosial. Daripada Instagram (IG), kami jadi lebih rapat apabila selalu mengambil bahagian dalam permainan atas talian," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaki rancak menjalani penggambaran drama 13 episod, Suci Dalam Debu arahan Datuk Jurey Rosli.

"Selepas itu, saya akan memulakan penggambaran drama slot Akasia TV3, Bisik Bisik Gelora sebanyak 35 episod arahan Riza Baharudin," katanya.

Berita Harian X