Khamis, 3 Februari 2022 | 1:00pm
Mawi (tengah) bersama barisan pelakon filem Hantu Kuat Ketawa yang terus bertahan memanjat carta nombor satu dalam Carta Filem Top 5 saluran Astro First. - Foto Ihsan Mawi
Mawi (tengah) bersama barisan pelakon filem Hantu Kuat Ketawa yang terus bertahan memanjat carta nombor satu dalam Carta Filem Top 5 saluran Astro First. - Foto Ihsan Mawi

Wayang pacak hibur mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Usaha seorang peminat mewujudkan wayang pacak bagi tayangan filem Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi menerusi akses Astro First bagi menghiburkan penduduk Kampung Puom, Jelebu, Negeri Sembilan yang baru sahaja berdepan dengan musibah banjir perlu dijadikan contoh.

Mawi selaku pengarah dan penerbit filem amat terharu dengan usaha peminat yang hanya dikenali dengan nama Nik. Selain menyokong filem kedua arahannya itu, usaha mewujudkan wayang pacak itu sedikit sebanyak mampu menggembirakan hati penduduk kampung yang baru sahaja menghadapi kesulitan.

"Saya mendapat tahu Nik mengambil inisiatif mewujudkan wayang pacak di sebuah kawasan lapang Kampung Puom bagi membolehkan penduduk kampung menonton filem Hantu Kuat Ketawa bersama.

"Saya menghargai usaha Nik apabila mendapat tahu kesulitan dihadapi penduduk yang terbatas tanpa akses menonton filem atau drama di kaca televisyen selepas berdepan musibah banjir.

"Jauh di sudut hati, saya juga bersimpati dengan nasib penduduk kampung berdepan situasi banjir yang berlaku. Musibah banjir bukan sahaja memusnah dan menghanyutkan harta benda, malah, kemudahan Astro.

"Usaha yang dilakukan Nik sedikit sebanyak membuatkan penduduk kampung terhibur. Saya juga dimaklumkan mereka teruja mahu menonton filem lakonan Saiful Apek, Syanie Hisyam, Along Cham, Zarina Anjoulie dan Anas Tahir itu," katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Aduh Saliha itu berkata, dia menghargai sokongan peminat dalam memberi perhatian kepada filem terbitan Al Najwa Production Sdn Bhd dan MW Entertainment Sdn Bhd itu.

"Saya percaya setiap langkah dibuat peminat dan penonton dalam segala bentuk sokongan memberi erti yang sangat besar," katanya.

Peminat setia mewujudkan wayang pacak filem Hantu Kuat Ketawa bagi menghiburkan penduduk Kampung Puom, Jelebu yang baru sahaja berdepan dengan musibah banjir. - Foto Ihsan Mawi
Peminat setia mewujudkan wayang pacak filem Hantu Kuat Ketawa bagi menghiburkan penduduk Kampung Puom, Jelebu yang baru sahaja berdepan dengan musibah banjir. - Foto Ihsan Mawi

Selepas seminggu tayangan menerusi platform Astro First, filem Hantu Kuat Ketawa terus bertahan memanjat carta nombor satu dalam Carta Filem Top 5 saluran berkenaan.

Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani bersyukur karyanya itu diterima sejak ditayangkan pada 27 Januari lalu tetapi jumlah kutipan filem belum diketahui lagi.

"Alhamdulillah, satu percaturan yang diharapkan akan terus menyebelahi nasib pembikin dan penerbit filem seperti kami.

"Biarpun tinggi harapan melihat karya kedua ini ditayangkan di pawagam, namun saya terpaksa melakukan 'twist' dengan menayangkannya di Astro First.

"Saya harap penonton akan terus menonton filem ini. Jika rasa terhibur, sudikanlah menghebahkannya kepada orang lain. Saya percaya penonton akan memberi sokongan tidak kira ditayangkan pawagam atau platform lain, nadi filem tetap penonton," katanya.

Bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga itu juga menarik nafas lega kerana inti pati dan jalan cerita diketengahkan dalam filem Hantu Kuat Ketawa dapat difahami dan diterima.

"Secara jujur, tiada rahsia dalam menghasilkan filem ini. Namun, apa yang pasti, saya menghasilkannya untuk hiburan. Bagaimanapun, dalam berhibur ada juga diselitkan isu terkini.

"Namun, saya percaya semuanya akan berbalik kepada soal tuah dan rezeki. Barisan pelakon dan kru produksi menjadi tunjang dan kekuatan atas kesepakatan bersama," katanya.

Berita Harian X