Isnin, 31 Januari 2022 | 2:00pm
Mak Wan bersama suaminya, Hussin Dollah dipertemukan menerusi seorang kenalan, tahun lalu. - Foto Mak Wan Latah
Mak Wan bersama suaminya, Hussin Dollah dipertemukan menerusi seorang kenalan, tahun lalu. - Foto Mak Wan Latah

Mak Wan kembali bergelar isteri kali ketiga

KUALA LUMPUR: Selama tujuh tahun hidup sendiri tanpa kehadiran lelaki bernama suami, pelakon veteran, Mak Wan Latah, 61, akhirnya bertemu jodoh ketiga pada 22 Januari lalu.

Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimaton Saadiah Mohd Daud selamat diijabkabulkan dengan pasangan, Hussin Dollah, 72, di Pejabat Agama Ipoh, Perak, manakala, majlis resepsi berlangsung di kampung halaman suami di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Pelakon filem Jangan Pandang Belakang Boleh dan Nasi Tangas berkenalan dengan suaminya menerusi seorang kenalan bersyukur, majlis pernikahan berjalan lancar, biarpun tarikh pernikahan terpaksa ditunda.

Katanya, majlis pernikahan sepatutnya berlangsung pada 15 Januari, namun, terpaksa ditunda berikutan perlu menjalani kuarantin disebabkan menjadi kontak rapat adiknya yang disahkan positif COVID-19 sekembali mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah.

Lebih seminggu memegang status isteri, Mak Wan yang kini menetap bersama suami di Kuala Pilah berkata, dia sedang menyesuaikan diri dengan status baharu kerana sudah terbiasa menjalani hidup sendirian.

"Saya masih dalam proses mengenali hati budi suami. Selepas mengikat tali pertunangan pada 14 November lalu, saya hanya sekali berjumpa suami.

"Selebihnya, kami banyak berhubung menerusi telefon bimbit, itu pun jarang berbual kerana saya sibuk di lokasi penggambaran.

"Sudah tentu saya mengambil masa menyesuaikan diri, maklumlah sudah tujuh tahun hidup bersendirian. Bagaimanapun, layanan keluarga suami sangat baik," katanya kepada BH Online.

Terpaksa berulang alik antara Kuala Lumpur dan Kuala Pilah jika bekerja, Mak Wan berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana terikat dengan jadual penggambaran.

Mak Wan bersama suami, anak-anak dan cucunya ketika majlis resepsi di kampung halaman suami di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu. - Foto Mak Wan Latah
Mak Wan bersama suami, anak-anak dan cucunya ketika majlis resepsi di kampung halaman suami di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu. - Foto Mak Wan Latah

Namun, katanya, suami tidak akan masuk campur urusan kerjanya, jauh sekali menghalangnya untuk meneruskan kerjaya lakonan.

"Suami yang mengusahakan kebun di kampung sudah beritahu saya awal-awal lagi enggan mengikuti ke lokasi penggambaran. Bagaimanapun, jika membabitkan majlis anak seni, mungkin akan dipertimbangkan untuk menemani saya," katanya.

Mak Wan berkata, anak tirinya menasihatinya agar memperlahankan aktiviti seninya.

Bagaimanapun, kata Mak Wan, dia terikat dengan jadual penggambarannya sehingga Februari ini memandangkan ada beberapa projek drama tertunda akibat Pelan Pemulihan Negara (PPN), tahun lalu.

"Sebelum ini, anak tiri ada meminta saya agar memperlahankan aktiviti seni. Tetapi, saya sudah menjelaskan kepada suami yang saya perlu bekerja kerana terikat dengan beberapa komitmen.

"Lagipun, apa yang sedang saya lakukan sekarang adalah menyudahkan penggambaran yang tertunda akibat PPN. Setakat ini, suami memahami, namun, saya akan tinggal bersama suaminya di kampung jika tiada urusan kerja.

"Namun, sekiranya terikat dengan jadual kerja, saya perlu berulang alik antara Kuala Lumpur dan Kuala Pilah," kata Mak Wan.

Mengenai rancangan berbulan madu, Mak Wan berkata, setakat ini, dia dan suami masih belum mempunyai perancangan memandangkan komitmen kerjanya penuh sehingga Februari ini.

Bagaimanapun, ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkata, mereka merancang berbulan madu dalam negara sahaja jika ada rezeki.

Berita Harian X