Sabtu, 29 Januari 2022 | 8:30am
Farah menjadikan Ernie sebagai idolanya dalam dunia seni. Foto Ihsan Farah Rose
Farah menjadikan Ernie sebagai idolanya dalam dunia seni. Foto Ihsan Farah Rose

Farah Rose mahu 'terbang' tinggi

KUALA LUMPUR: Orangnya kecil molek, namun siapa sangka, gadis yang baru melancarkan single sulung berjudul Ceritaku, Farah Rose memiliki kelayakan sebagai juruterbang.

Baru menamatkan pengajian di HM Aerospace Langkawi, Disember lalu, bakat anak jati pulau lagenda itu mula dihidu komposer, Eddie Hamid selepas menyaksikan Farah membuat persembahan di sebuah acara, kira-kira empat tahun lalu.

Farah yang sudah melengkapkan 200 jam penerbangan mahu memberi tumpuan kepada karier seni sementara menanti industri penerbangan pulih akibat pandemik COVID-19.

Malah, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi itu sedia berhijrah ke Kuala Lumpur demi memburu impian menjadi penyanyi.

"Bagi saya, tiada masalah untuk membahagikan masa antara bidang nyanyian dan kerjaya sebagai juruterbang. Bekerja sebagai 'pilot' tidaklah terlalu sibuk.

"Saya lihat abang yang juga 'pilot' bekerja tiga hari dan diberi kelepasan beberapa hari oleh majikan. Jadi, saya fikir, masa terluang itu dapat saya penuhi untuk karier nyanyian.

Farah baru menamatkan pengajian dalam bidang penerbangan di HM Aerospace Langkawi, Disember lalu. Foto IG Farah Rose
Farah baru menamatkan pengajian dalam bidang penerbangan di HM Aerospace Langkawi, Disember lalu. Foto IG Farah Rose

"Insya Allah, jika memerlukan saya berhijrah ke Kuala Lumpur demi kerjaya seni, saya tidak kisah. Lagipun, saya ada kakak yang menetap di ibu negara," katanya kepada BH Online.

Ditanya apa yang mendorong minatnya menjadi juruterbang, Farah yang mempunyai tiga lagi adik-beradik bergelar juruterbang memberitahu, minat timbul apabila sering mengikut keluarga bercuti ke luar negara, sejak kecil lagi.

Melihat tidak ramai wanita bergelar juruterbang, Farah memasang impian menjadi juruterbang seperti adik-beradik lain.

Dunia nyanyian bukanlah asing buat gadis berusia 22 tahun ini. Sejak usia 10 tahun, anak bongsu daripada lima beradik ini sering menyertai pertandingan nyanyian dan memenuhi undangan persembahan.

Farah pernah bergelar Bintang Kecil Radio Langkawi pada 2010 dan 2011 serta meraih tempat ketiga pada acara Bintang Kecil Zon Utara pada 2011.

Ditakdirkan, pada 2018, Farah bertemu komposer Eddie Hamid.

"Saya minat bidang nyanyian tetapi tidak tahu bagaimana hendak memulakan karier sebagai penyanyi sehinggalah bertemu Eddie.

"Dia kemudian menawarkan saya merakamkan lagu Ceritaku. Namun, disebabkan saya perlu menyambung pengajian untuk mendapatkan lesen juruterbang, hasrat melancarkan single pertama terpaksa ditangguhkan.

"Akhirnya, pada 2020, barulah kami sempat menghasilkan video muzik single itu. Namun, disebabkan pandemik COVID-19, sekali lagi hasrat melancarkan lagu Ceritaku ditangguhkan," katanya.

Berkongsi pengalaman merakamkan single Ceritaku, Farah berkata, bukan mudah menyiapkan sebuah lagu balada dengan proses rakaman mengambil masa enam jam.

"Memang susah... Ketika merakamkannya, barulah saya tahu setiap baris dan bait lirik perlu ada emosi.

"Selain itu, saya perlu ada cara tersendiri dalam menyanyi. Saya tidak boleh terikut atau meniru cara penyanyi lain. Jadi, perlu ambil masa untuk hayati lagu," katanya.

Apa yang menggembirakan, single Ceritaku dipilih menjadi antara lagu tema drama bersiri Honeymoon yang bakal ditayangkan slot Dahlia, TV3, Mac depan.

Farah yang meminati Ernie Zakri tidak kisah mengambil masa lama untuk dikenali, sama seperti penyanyi idolanya itu.

Malah, Farah tidak gentar atau mahu bersaing dengan artis baharu kerana niatnya menjadi penyanyi sekadar mewarnai dunia seni.

Selain Ernie, gadis yang pernah menyertai uji bakat program realiti, Mentor ini mengagumi penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli.

Andai ada rezeki, Farah mahu bekerjasama dengan penyanyi itu.

"Saya kagum dengan Haqiem. Dia bukan sahaja penyanyi yang bagus, malah mampu mencipta lagu," katanya yang teringin berduet dengan Haqiem.

Berita Harian X