Selasa, 25 Januari 2022 | 3:01pm
Ibarat kelahiran semula, selain penghijrahan apabila semakin mendekatkan diri ke jalan agama, Aliff berjanji terus aktif dalam dunia seni yang menjadi kecintaannya sejak usia remaja. - Foto Ihsan Astro
Ibarat kelahiran semula, selain penghijrahan apabila semakin mendekatkan diri ke jalan agama, Aliff berjanji terus aktif dalam dunia seni yang menjadi kecintaannya sejak usia remaja. - Foto Ihsan Astro

Kelahiran semula Aliff Aziz

KUALA LUMPUR: Saat ditawarkan menjadi peserta program realiti, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), hatinya berbelah-bahagi.

Terlalu banyak perkara negatif bermain dalam fikiran penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz selepas melalui episod duka dalam kehidupan dan terpalit kontroversi yang mencalarkan reputasi, ia sekali gus membuatkannya rasa ragu-ragu untuk menerima.

Namun, yakin itulah takdir yang dilorongkan Allah SWT kepadanya, Aliff atau nama sebenarnya, Mohamad Aliff Aziz, 31, akhirnya memberanikan diri menyahut cabaran itu.

Ternyata, usaha, doa dan tawakal yang dipanjatkan dibayar dengan kemanisan apabila dinobatkan sebagai juara GV8 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin.

Memanjatkan rasa syukur dengan kemenangannya itu, Aliff menyifatkan kejayaannya itu sebagai satu penjenamaan baharu dalam hidupnya.

"Saya pernah ditawarkan menyertai GV dua tahun lalu, tetapi situasi tidak mengizinkan. Apabila sekali lagi ditawarkan, jujurnya saya berat hati menerimanya. Hati berbelah-bahagi.

"Pelbagai perkara negatif yang bermain dalam fikiran. Secara kebetulan, saya berada pada fasa mencabar dan memang tidak mampu nak buat. Bagaimanapun, berkat dorongan umi, ayah dan isteri, Bella Astillah akhirnya saya terima tawaran ini.

"Kemenangan ini bukan kerana saya seorang yang hebat, tetapi semuanya sudah diatur Tuhan. Tak dinafikan, macam-macam dugaan yang pernah dilalui sebelum ini.

"Apabila difikirkan semula perjalanan saya hingga hari ini, ia sangat menyentuh emosi. Insya-Allah, kemenangan ini akan menjadi pembuka jalan untuk memperkenalkan 'Aliff Aziz' yang baharu," katanya kepada BH Online.

Aliff bersama isterinya, Bella yang menjadi tulang belakang perjuangannya dalam dunia seni. - Foto Ihsan Astro
Aliff bersama isterinya, Bella yang menjadi tulang belakang perjuangannya dalam dunia seni. - Foto Ihsan Astro

Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Sayang Sayang itu ditemui pada sidang media selepas malam kemuncak GV8 berakhir, malam kelmarin.

Ibarat kelahiran semula buat dirinya, selain membuat penghijrahan apabila semakin mendekatkan diri ke jalan agama, bapa kepada dua cahaya mata itu berjanji untuk terus aktif dalam dunia seni yang menjadi kecintaannya sejak usia remaja.

"Ada banyak perancangan sudah diatur. Paling utama, penyertaan dalam program realiti ini berjaya mencabar saya untuk keluar dari zon selesa. Jika selama ini orang sangka saya hanya boleh menyanyi genre muzik tertentu, tetapi dalam GV8, saya boleh menyampaikan lagu dari pelbagai irama.

"Jadi, sudah tiba masanya untuk saya bereksprimen dengan muzik baharu. Selain itu, saya juga akan kembali aktif berlakon," ujarnya.

Pada pentas akhir GV8, Aliff yang menyampaikan tiga lagu tugasan iaitu solo, duet dan battle berjaya menarik perhatian juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat, selain juri jemputan, Joe Flizzow apabila mereka memberikan komen positif.

Bagi lagu solo, pelakon drama rantaian Meh! Sandar Pada Aku dan Halalkan Hati Yang Kau Curi itu menyampaikan lagu Sampai Syurga yang pernah dipopularkan Faizal Tahir. Segmen duet pula menyaksikan penyanyi bervokal mantap itu berpadu suara dengan Hafiz Suip mendendangkan lagu Dealova.

Aliff kemudian dipertemukan dengan Aweera untuk menyanyikan lagu Bangun dalam segmen battle.

Gandingan Aliff dan Hafiz menerusi lagu Deelova mendapat pujian ramai. - Foto Ihsan Astro
Gandingan Aliff dan Hafiz menerusi lagu Deelova mendapat pujian ramai. - Foto Ihsan Astro

Mengulas ganjaran RM100,000 diterima sebagai juara, Aliff berkata, dia mahu berkongsi rezeki kemenangannya bersama keluarga tercinta.

"Sejujurnya, saya sendiri tidak terfikir nak buat apa dengan duit ini. Malah, hingga saat ini, saya masih cuba nak hadam kemenangan diraih.

"Apa yang pasti, hadiah wang ini akan digunakan untuk anak dan isteri serta keluarga di Singapura," ujarnya yang tidak putus-putus melafazkan rasa syukur atas kemenangannya itu.

Aliff memperoleh markah tertinggi sebanyak 83.06 peratus, diikuti Nikki Palikat di tempat kedua dengan markah 81.26.

Suki Low mendapat tempat ketiga dengan markah 77.91 peratus, manakala tempat keempat menjadi milik Adibah Noor dengan markah 67.25 peratus.

Azan Scan dan Aweera masing-masing berpuas hati di tempat kelima dan keenam dengan meraih markah 64.04 dan 63.90 peratus.

Program realiti GV8 dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse selama 10 minggu itu turut disertai Shidee, Nico G, Datuk Fazley Yaakob, Upiak, Bandi Amuk, Saiful Apek & Yassin (SA.YA) dan Ani Mayuni.

Berita Harian X