Isnin, 24 Januari 2022 | 5:29pm
Impian Nikki mengubah suai rumah keluarga di kampung menggunakan duit kemenangan tercapai apabila menang di tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM50,000. - Foto Ihsan Astro
Impian Nikki mengubah suai rumah keluarga di kampung menggunakan duit kemenangan tercapai apabila menang di tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM50,000. - Foto Ihsan Astro

Usah bergaduh, pertikai keputusan juri GV8 - Nikki

KUALA LUMPUR: Naib juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Nikki Palikat, 36, enggan terpengaruh dengan komen negatif yang mempertikaikan keputusan dibuat juri profesional pada malam kemuncak program realiti itu, semalam.

Menerima dengan hati terbuka kemenangan saingan terdekatnya iaitu Aliff Aziz sebagai juara, Nikki menegaskan perkara sebegitu tidak perlu diberi perhatian kerana ia adalah lumrah untuk satu program realiti.

"Apabila bercakap mengenai program realiti, sudah menjadi perkara biasa jika ia dikaitkan dengan isu melaga-lagakan membabitkan peminat. Sebagai peminat program realiti seperti American Idol, saya memahami perasaan penonton.

"Mereka pasti ada peserta pilihan dan mengharapkan menjadi juara. Saya juga akan meluahkan rasa tidak puas hati jika peserta diminati tidak menang.

"Saya percaya dengan keputusan yang diputuskan juri profesional. Apapun, saya bersyukur walaupun bergelar naib juara.

"Sekurang-kurangnya, azam saya mengubah suai rumah keluarga di kampung menggunakan duit kemenangan tercapai," katanya kepada BH Online.

Nikki atau nama sebenarnya, Nicolette Louisa Palikat ketika pada malam kemuncak GV8 yang berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Katanya, Aliff layak untuk bergelar juara kerana sangat berbakat dan komited pada kerja.

"Aliff, peserta yang rajin. Malah, juri, Datuk Syafinaz Selamat memberitahu, Aliff memiliki kemerduan suara yang sangat kuat. Saya nampak kesungguhan Aliff setiap minggu dan tumpang gembira dengan kejayaannya.

"Tak perlulah nak membazirkan tenaga bergaduh-gaduh sebab kalian boleh menantikan single terbaharu saya yang akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Rezeki memihak kepada Aliff apabila diangkat sebagai juara GV8, mengalahkan pencabar terdekat, Nikki dan Suki. - Foto Ihsan Astro
Rezeki memihak kepada Aliff apabila diangkat sebagai juara GV8, mengalahkan pencabar terdekat, Nikki dan Suki. - Foto Ihsan Astro

Meskipun GV8 adalah program realiti nyanyian, namun, isteri kepada komposer Audi Mok itu mengakui, semangat kekeluargaan kuat antara peserta.

"Saya pernah terdengar ada antara peserta GV sebelum ini tidak bertegur sapa dan bermasam muka. Namun, perkara sebegitu tidak berlaku pada GV8.

"Walaupun bertanding, tetapi kami saling menyokong antara satu sama lain. Aliff sendiri pernah berkongsi petua untuk menjaga suara dengan menyarankan saya minum teh yang pernah diamalkan penyanyi Ariana Grande,," dedah Nikki.

Terdahulu, Aliff memperoleh markah tertinggi sebanyak 83.06 peratus, diikuti Nikki dan Suki yang meraih 81.26 dan 77.91 peratus. Tempat keempat menjadi milik Adibah Noor menerusi 67.25 peratus.

Sementara itu, Azan Scan dan Aweera berpuas hati dengan menduduki tangga kelima dan keenam apabila masing-masing memperoleh markah sebanyak 64.04 dan 63.90 peratus.

Konsert akhir GV8 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse dan dimeriahkan dengan persembahan istimewa alumni GV8 iaitu kumpulan Nico G, Datuk Fazley Yaakob, Upiak, Bandi Amuk, Saiful Apek & Yassin (SA.YA) Shidee dan Ani Mayuni.

Berita Harian X