Isnin, 24 Januari 2022 | 1:00pm
Fizie dan Mek Zura menghangatkan segmen Molek Pagi setiap Ahad hingga Khamis mulai jam 6 pagi di Molek FM. Foto IG Molek FM
Fizie dan Mek Zura menghangatkan segmen Molek Pagi setiap Ahad hingga Khamis mulai jam 6 pagi di Molek FM. Foto IG Molek FM

MPA 'pecah rekod' siarkan Molek FM

KUALA LUMPUR: Kesungguhan pasukan petugas merealisasikan projek stesen radio kelima naungan Media Prima Audio (MPA), Molek FM dalam tempoh tiga bulan dianggap menakjubkan.

Itu reaksi Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran yang berpuas hati apabila dalam tempoh sesingkat itu, Molek FM yang menyasarkan pendengar di Terengganu dan Kelantan, dapat dilancarkan.

"Kami berbincang dan melakukan sesi percambahan minda kira-kira tiga bulan lalu. Amat pendek sebenarnya tempoh untuk 'set up' stesen radio ini.

"Namun, disebabkan pengalaman pasukan kerja dan MPA, di sebalik cabaran itu, kita berjaya mengharunginya sebaik mungkin.

Nazri memberi penerangan pada majlis Bekwoh Santai Molek FM di ibu negara, baru-baru ini. Foto Ihsan MPA
Nazri memberi penerangan pada majlis Bekwoh Santai Molek FM di ibu negara, baru-baru ini. Foto Ihsan MPA

"Ini adalah rasa menakjubkan dan boleh dianggap rekod paling pantas dipecah kami untuk projek menubuhkan stesen radio ini," katanya kepada BH Online.

Nazri ditemui pada majlis Bekwoh Santai Molek FM di ibu negara, baru-baru bagi memperkenalkan penyampai Molek FM iaitu Fizie, Mek Zura, Mat Dan, Izzul dan Kai Hassan.

Nazri berkata, penyampai radio yang dipilih mengemudi Molek FM bukan atas faktor petah berbicara semata-mata.

"Sebaliknya, mereka ada pengetahuan mengenai negeri Pantai Timur termasuk komuniti serta budaya. Ada juga antara mereka anak jati negeri terbabit.

"Jadi, kalau pandai cakap tapi tak tahu fasal senario negeri di sana pun tiada guna," katanya.

Nazri yakin semua penyampai Molek FM ada ciri-ciri yang dicari stesen radio berkenaan.

"Fizie sebelum menempa nama di Hot FM, dia berkhidmat di stesen radio sama cawangan Kelantan. Mek Zura pula ada pengaruh kuat kerana diminati penduduk tempatan," katanya.

Nazri menambah, kemunculan Molek FM menghangatkan lagi stesen radio di pasaran terutama yang menyasarkan pendengar di Kelantan dan Terengganu berusia antara 18 hingga 39 tahun.

"Kami merencanakan pelbagai pengisian dan kempen yang harap dapat menambat hati pendengar Molek FM di Pantai Timur dan Malaysia.

"Secara amnya, Molek FM boleh didengari melalui penstriman dalam talian sama ada melalui laman sesawang atau akaun YouTube Molek FM.

"Diharap pendengar dapat menyokong Molek FM dan semua stesen radio di bawah naungan MPA," katanya.

Nazri berkata, MPA juga memperkenalkan duta lapangan di Pantai Timur yang dikenali sebagai Geng Molek.

"Usaha mewujudkan Geng Molek ini bertepatan dengan gelaran mereka sebagai Duta Molek FM yang akan mendekati dan menghargai pendengar.

"Geng Molek juga akan membuat lintasan dan memberitahu di mana mereka bakal berada serta memberi pelbagai barangan eksklusif Molek FM.

"Ini sebagai strategi memperluaskan lagi jenama Molek FM dalam kalangan masyarakat," katanya.

Molek FM boleh didengari menerusi frekuensi 105.1 FM di Kota Bharu dan 93.6 FM di Kuala Terengganu.

Ikuti pelbagai segmen menarik secara penstriman langsung di www.molekfm.audio atau YouTube Molek TV. Segmen Molek Pagi membawa segmen Goreng Pisang, Rakyat of the Month dan peraduan menarik, Nyanyi Molek di mana pendengar berpeluang memenangi wang tunai.

Selebriti kelahiran United Kingdom (UK) iaitu Tyler Daniel James atau lebih dikenali dengan nama Mat Dan juga ke udara melalui segmen Molek Petang mulai jam 3 petang hingga 7 malam, Ahad hingga Khamis.

Berita Harian X