Ahad, 23 Januari 2022 | 5:08pm
Mahadi kali pertama melayangkan mesej kepada Heliza bertanya mengenai cara memberi bantuan kemanusiaan. Foto Ihsan Bizmilla Wedding Centre
Mahadi kali pertama melayangkan mesej kepada Heliza bertanya mengenai cara memberi bantuan kemanusiaan. Foto Ihsan Bizmilla Wedding Centre

Doa depan Kaabah jadi realiti

KUALA LUMPUR: Siapa sangka kiriman doa berkisar jodoh yang dimohon dilafazkan di Tanah Suci Makkah mendekatkan Datin Seri Heliza Helmi, 36, dengan suami, iaitu ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, 38, yang dinikahi, pada 1 Januari lalu.

Membuka cerita, Heliza yang juga penyanyi dan aktivis kemanusiaan memberitahu, perkenalan bermula apabila Mahadi yang dipanggil Abang Dee, bertanya mengenai bantuan yang mahu dihulurkan.

"Mesej itu (yang dilayangkan Mahadi) cukup rawak. Seperti orang lain yang mengutus mesej mengenai bantuan yang mahu diberi dan sebagainya.

"Saya balas pertanyaan Abang Dee seperti orang lain. Momen itu sepintas lalu tanpa ada pertemuan. Selepas itu, tiada apa-apa yang terjadi.

"Masing-masing meneruskan kehidupan macam biasa. Hendak dijadikan cerita, suatu hari, saya dapat tahu dia mahu menunaikan umrah.

"Saya dengan selamba mengirimkan doa untuk dipanjangkan di Tanah Suci Makkah. Sebelum ini, saya suka kirim doa kepada sesiapa termasuk yang tidak dikenali seperti netizen.

Mahadi dan Heliza diijabkabulkan pada 1 Januari lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto Ihsan Bizmilla Wedding Centre
Mahadi dan Heliza diijabkabulkan pada 1 Januari lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto Ihsan Bizmilla Wedding Centre

"Kita pun tidak tahu doa siapa yang akan dimakbulkan Tuhan," katanya kepada BH Online.

Heliza mengaku salah satu doa yang dikirim kepada Mahadi adalah perihal jodoh.

"Doa jodoh itu dipanjangkannya di hadapan Kaabah. Pada detik itu, bagai hadir isyarat bahawa jodoh sudah tertulis antara kami .

"Dipendekkan cerita, Abang Dee bertemu keluarga untuk menyunting saya. Seterusnya, Allah lorongkan semua itu kepada ikatan ijab kabul," katanya.

Diminta menggambarkan keperibadian Mahadi yang juga Pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium, iaitu syarikat yang menawarkan khidmat pelaburan kewangan, Heliza sukar mengungkapkan dengan kata-kata.

"Ada sesuatu mengenai dirinya yang susah hendak diterangkan dalam satu perkataan atau baris ayat.

"Dia... Masya-Allah, Subhanallah, Alhamdulillah... Dialah syurgaku. Saya bersyukur dikurniakannya. Moga mudah-mudahan doa rumah tangga kami sampai ke Jannah," katanya.

Sementara itu, Mahadi menggambarkan jodoh dengan isteri seperti perjalanan mencari permaisuri hati yang boleh hidup bersama selama-lamanya.

"Moga ikatan ini terus berada dalam sakinah, mawaddah, rahmat dan sampai Jannah. Jodoh saya akhirnya tertulis pada usia 38 tahun. Sampai berjanggut panjang saya tunggu jodoh ini.

"Ini suatu penantian panjang yang terjawab dan berbaloi apabila berjodoh dengannya. Kesudahan dan nikmat ini cukup menggembirakan hati dan disyukuri.

"Allah bagi jodoh sepertinya... Masya-Allah, Alhamdulillah dan cukup lengkap serta sempurna dalam segala segi. Pandang dia rasa sejuk hati," katanya yang cukup tebal dengan loghat utara.

Sementara itu, mengenai majlis meraikan pengantin yang dianjurkan teman baiknya, Mila Jirin, malam tadi, Heliza atau nama penuh, Nur Heliza Helmi menganggap acara itu simbolik persahabatan mereka sejak menyertai musim kelima program realiti, Akademi Fantasia (AF5), kira-kira 15 tahun lalu.

"Mila sudah berniat sekian lama. Kalau saya kahwin, dia mahu beri hadiah majlis persandingan," katanya.

Heliza dan Mahadi diraikan Mila pada majlis persandingan bertemakan 'Malam Islamik' di Bizmilla Grand Ballroom, Eco Sanctuary, Selangor.

Pada majlis itu, tetamu mengenakan jubah hitam bagi wanita dan putih untuk lelaki seperti ditetapkan mengikut tema.

Berita Harian X