Jumaat, 21 Januari 2022 | 1:00pm
Nizam yang mengusahakan Nizam Laksamana Production sukar meraih kepercayaan penaja atau membeli meja bagi program ‘showcase’ yang berpaksikan misi amal. - Foto IG Nizam Laksamana
Nizam yang mengusahakan Nizam Laksamana Production sukar meraih kepercayaan penaja atau membeli meja bagi program ‘showcase’ yang berpaksikan misi amal. - Foto IG Nizam Laksamana

Sukar cari penaja, Nizam beralah

KUALA LUMPUR: Berdepan kesukaran mencari penaja, malah pernah dalam suatu insiden, cadangan diaju disambut sinis majikan sebuah syarikat swasta, Nizam Laksamana menjadikan Showcase Amal Keluarga Malaysia - Artis Legenda 3.0, Jun depan, sebagai program terakhir syarikat produksi miliknya.

Nizam yang mengusahakan Nizam Laksamana Production mengakui sukar meraih kepercayaan pihak lain untuk menjadi penaja atau membeli meja bagi program 'showcase' yang berpaksikan misi amal.

"Persembahan pada 4 Jun depan adalah 'showcase' terakhir saya... Cukuplah tiga kali. Saya hanya mahukan kesempurnaan yang meninggalkan kesan mendalam.

"Bukan mudah menganjurkan program seumpama ini. Namun, atas sebab darah seni yang mengalir, ia ,mengatasi segala-galanya," katanya kepada BH Online.

Showcase Amal Keluarga Malaysia - Artis Legenda 3.0 akan diadakan di Bangi Resort Hotel bertemakan pakaian serba hitam atau 'all black' pada jam 8 malam, 4 Jun depan.

Selain Nizam, program yang mendapat kerjasama Saudagar Seni dan Cancer Survivors Malaysia itu turut menampilkan Ezad Lazim, Tam Spider, Ibnor Riza, Rahmad Mega dan Zarul Husin.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid menjadi penaung kepada acara itu.

Nizam berkata, ibarat pepatah Inggeris berbunyi 'the show must go on', dia reda dan meneruskan niat murni menjayakan edisi ketiga 'showcase' berkenaan bagi membantu pesakit kanser.

"Idea tercetus kerana isteri saya bergelut dengan kanser. Saya faham kesukaran mereka melalui dugaan ini. Saya mengerti kos perubatan penyakit ini sangat mahal dan mengambil masa lama.

"Saya juga mahu menyuntik kesedaran kanser bukan boleh diubati secara tradisional, sebaliknya melalui perubatan moden dan kepakaran hospital," katanya.

Showcase Amal Keluarga Malaysia - Artis Legenda 3.0 akan diadakan di Bangi Resort Hotel bertemakan pakaian serba hitam atau ‘all black’ pada jam 8 malam, 4 Jun depan. - Foto IG Nizam Laksamana
Showcase Amal Keluarga Malaysia - Artis Legenda 3.0 akan diadakan di Bangi Resort Hotel bertemakan pakaian serba hitam atau ‘all black’ pada jam 8 malam, 4 Jun depan. - Foto IG Nizam Laksamana

Nizam berkata, pada edisi ketiga 'showcase' berkenaan, sejumlah sumbangan akan disalurkan kepada organisasi Cancer Survivors Malaysia.

"Saya hanya pinjam semangat isteri untuk meneruskan niat menganjurkan 'showcase' ini," katanya.

Nizam sedar dirinya bukan dalam kalangan individu berpengaruh yang mudah meraih kepercayaan pihak lain terutama pelabur yang mahu menaja program amal dirancang.

"Saya sedar siapa diri ini, tiada nama dalam industri seni. Kalau boleh, memanglah hendak cari penaja atau berjumpa golongan kenamaan dan kerabat.

"Mahu juga hubungi menteri untuk meminta bantuan. Namun, tidak mungkin golongan terbabit memandang saya. Ramai lagi orang lain yang mereka perlu beri perhatian.

"Akhirnya, saya putuskan untuk meneruskan projek... Ada rezeki nanti, adalah. Takkanlah hendak terhegeh-hegeh buat kandungan bukan-bukan dalam media sosial untuk raih perhatian," katanya.

Namun, biarpun berdepan pandangan sinis, Nizam tidak putus semangat mendapatkan penaja atau pembeli meja pada 'showcase' berkenaan.

"Ada 48 meja dengan lapan kerusi termasuk 10 meja VIP ditawarkan untuk 'showcase' ini. Setakat ini, kita sudah jual 28 meja," katanya yang bersyukur Tenaga Nasional Berhad (TNB) buat kali kedua turut menaja edisi ketiga persembahan amal itu.

Mengenai bayaran kepada artis yang membuat persembahan, Nizam berkata, semua penyanyi akan menerima bayaran sama rata.

"Mereka sama membantu mempromosikan acara ini yang menjadi punca rezeki mereka. Saya amat menghargainya. Jumlah yang dibayar kepada penyanyi terbabit, biarlah rahsia. Dalam setiap jualan meja, ada bahagian untuk mereka.

"Saya sangat bersyukur semua artis bersetuju dengan apa yang ditawarkan. Bagi saya, mereka semua bukan calang-calang. Semua ada nama dalam industri seni," katanya.

Showcase Amal Keluarga Malaysia - Artis Legenda 3.0 turut dihangatkan Baggio Damasutra dan penampilan istimewa, Datuk Hattan. Nizam mempromosikan 'showcase' dan jualan meja melalui Instagram (IG) @nizamlaksamana3011.

Berita Harian X