Khamis, 20 Januari 2022 | 8:30am
Kyle senang bekerjasama dengan teraju utama filem, Alicia yang banyak memberikannya semangat. - Foto Kotaki Studios
Kyle senang bekerjasama dengan teraju utama filem, Alicia yang banyak memberikannya semangat. - Foto Kotaki Studios

Pengarah muda terima DKD RM700,000

KUALA LUMPUR: Tujuh bulan tanpa berita Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selepas sesi pitching, sutradara muda, Kyle A Halim pasrah jika namanya gagal mendapatkan Dana Kandungan Digital (DKD).

Namun, pengarah muda yang banyak menghasilkan video grafik akhirnya menerima berita yang ditunggu-tunggu apabila diundang menghadiri program inkubator di bawah FINAS bersama tujuh syarikat lain pada November 2019.

Muncul penerima paling muda, Kyle, 28, tidak menyangka keputusan meninggalkan perniagaan video grafik membuahkan hasil apabila layak menerima DKD berjumlah RM700,000 untuk menghasilkan filem.

"Saya meminati dunia perfileman dan pernah menghasilkan enam filem pendek. Sebelum itu, saya menjalankan perniagaan video grafik selama hampir tiga tahun, bagaimanapun, jiwa saya tiada di situ.

"Pada 2018, saya nekad berhenti. Secara kebetulan, abang ipar adalah anak kepada pemilik Sabah Filem, Datuk Deddy M Borhan. Jadi, saya minta nasihat daripada beliau cara buat filem.

"Perkara pertama ditanya, adakah sudah memiliki lesen FINAS? Beliau nasihatkan saya memohon lesen terlebih dahulu.

"Apabila berjaya mendapatkan lesen, saya berjumpa dengannya sekali lagi. Beliau mencadangkan saya mohon untuk sesi pitching bersama FINAS di bawah DKD," katanya kepada BH Online.

Graduan lulusan Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) Sabah, Kyle hasil filem seram thriller, The Disappearance of Irdina Adhwa yang diinspirasi dari filem Friday The 13th dan Tomb Raider. - Foto Kotaki Studios
Graduan lulusan Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) Sabah, Kyle hasil filem seram thriller, The Disappearance of Irdina Adhwa yang diinspirasi dari filem Friday The 13th dan Tomb Raider. - Foto Kotaki Studios

Kyle yang juga pemilik syarikat produksi, Kotaki Studios Sdn Bhd berkata, dia akhirnya berjaya mendapatkan slot pitching yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Salah seorang panel penilainya adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

"Ahmad Idham agak terkilan kerana saya tidak mempunyai pengalaman menghasilkan drama atau telefilem.

"Kedua saya masih muda, tetapi, sudah memiliki lesen FINAS atas nama sendiri. Tetapi, Ahmad Idham bertanya sekiranya FINAS menyediakan kelas adakah saya bersetuju mengikutinya?

"Selepas itu, hampir tujuh bulan tiada khabar dari FINAS sehingga saya menyangka gagal mendapat DKD.

"Namun, siapa sangka saya adalah peserta paling muda apabila diundang menyertai program Inkubator. Antara peserta lain termasuklah Aida Aris dan Intan Ladyana," katanya yang diletakkan di bawah Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin selaku penerbit penyelia.

Berbekalkan RM700,000 dana diperoleh, graduan lulusan Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) di Sabah itu menghasilkan filem bergenre seram thriller berjudul The Disappearance of Irdina Adhwa yang diinspirasi daripada filem Friday The 13th dan Tomb Raider.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah itu berkata, dia memang menggemari filem berunsurkan thriller dan permainan video. Jadi, ia antara penyebabnya memilih genre berkenaan sebagai karya sulung.

Selain penerbit dan pengarah, Kyle juga menghasilkan skrip filem The Disappearance of Irdina Adhwa dan mengambil masa selama setahun untuk menyiapkannya bermula proses pra produksi.

Kyle (kanan) berbincang dengan teraju utama, Alicia dan Syazuwan ketika penggambaran. - Foto Kotaki Studios
Kyle (kanan) berbincang dengan teraju utama, Alicia dan Syazuwan ketika penggambaran. - Foto Kotaki Studios

Katanya, situasi negara diuji pandemik sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan turut menjejaskan proses penggambaran filem.

"Cabaran terbesar, filem ini sepatutnya menjalani penggambaran pada 2020 di Sabah. Ini kerana saya berasal dari sini, namun, disebabkan PKP dan kerajaan Sabah mengenakan syarat ketat membawa masuk orang luar.

"Jadi, saya terpaksa mengubah perancangan asal dengan menukar lokasi penggambaran di Semenanjung Malaysia. Hanya 20 peratus penggambaran dijalankan di Kundasang, manakala, selebihnya Melaka.

"Bagaimanapun, filem ini selesai menjalani penggambaran pada April, tahun lalu," katanya.

Filem The Dissapearance Of Irdhina Adhwa bakal ditayangkan di platform Astro First pada 24 Februari ini.

Mengikut perancangan awal, Kyle ingin menayangkan karya sulungnya di panggung wayang, tetapi, terpaksa akur memilih platform lain akibat pandemik.

"Saya tidak kecewa biarpun filem pertama gagal ditayangkan di pawagam. Saya masih muda dan yakin masih banyak lagi peluang pada masa depan," katanya.

Filem yang diterajui Alicia Amin itu turut dibintangi Syazuwan Hassan, Josiah Hogan, Bulan Terry, Nafiz Muaz, Melanie Tan, Nelissa Nizam, Hasmira Azmi dan Abbas Mahmoud.

Ia mengisahkan Sofia menyertai tujuh rakan kolej bercuti dan berkelah sebaik majlis graduasi selesai. Namun, berlaku kejadian tidak diingini dan diselubungi misteri apabila salah seorang rakannya terbunuh ketika mereka menginap di sebuah rumah peranginan pada malam pertama.

Bagaimanapun, Sofia dan rakan-rakannya terperangkap dalam rumah peranginan berkenaan dan tidak boleh keluar minta pertolongan untuk menyelamatkan diri.

Berita Harian X