Selasa, 18 Januari 2022 | 1:00pm
Siti bersyukur dikelilingi keluarga, teman dan peminat tersayang pada sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-43 di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Saifullizan Tamadi
Siti bersyukur dikelilingi keluarga, teman dan peminat tersayang pada sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-43 di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Saifullizan Tamadi

Bukan zaman untuk bersaing - Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Selepas 25 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengaku bukan masanya lagi untuk bersaing dengan bakat muda atau generasi pelapis.

Siti yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-43 pada 11 Januari lalu berharap mahu terus relevan dan konsisten dalam meneruskan karier seni.

Ibu kepada Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa ini bertekad terus menyajikan karya terbaik, mempamerkan prestasi bagus dan bekerjasama dengan bakat baharu.

Siti tampil dengan persalinan karakter Mulan namun dengan gaya lebih sopan pada majlis sambutan hari jadinya di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Saifullizan Tamadi
Siti tampil dengan persalinan karakter Mulan namun dengan gaya lebih sopan pada majlis sambutan hari jadinya di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Saifullizan Tamadi

"Zaman sekarang bukan untuk saya bersaing lagi dengan artis muda. Sudah bukan era berlawan lagi untuk saya," katanya pada majlis sambutan hari jadi bersama kelab peminat, Sitizone di ibu negara, Sabtu lalu.

Penyanyi lagu Purnama Merindu itu bersyukur atas kesetiaan kelompok peminat Sitizone digelar Sitizoner yang terus utuh selepas 18 tahun ditubuhkan.

"Dalam tempoh lebih dua dekad ini saya bersyukur dikelilingi tunjang kekuatan yang jadi tulang belakang, termasuk rakan media dan peminat.

"Tidak dinafikan peminat menjadi nadi penting kepada kerjaya saya. Cuma tidak sangka pada usia sekarang dan selepas 25 tahun jadi anak seni, peminat terus teguh menyokong.

"Saya fikir mereka akan berubah hati disebabkan ada lagi penyanyi hebat akan ambil alih. Ini jadi suntikan semangat untuk saya terus beri yang terbaik.

"Saya juga ada peminat baharu. Mereka yang meminati saya dahulu dan seusia, kini bersambung sokongan itu kepada anak mereka," katanya.

Tambah Siti, banyak momen dikenang sejak penubuhan Sitizone.

"Mereka ada dengan saya ketika sukar dan duka. Kalau tengok filem dokumentari, Siti: Are You Ready? anda boleh lihat ada kelompok peminat sanggup ke mana sahaja konsert saya dianjurkan.

"Rentas luar negara pun mereka sanggup melabur duit biarpun jarang berjumpa dan berkomunikasi," katanya.

Pada acara itu, Siti 'meminjam' semangat juang karakter puteri Disney, Mulan seiring dengan tema watak dalam filem atau drama yang diterapkan pada majlis perjumpaan itu.

"Mulan versi saya ini sopan sedikit, versi berhijab. Saya suka watak adiwira seperti ini. Saya selalu berangan jadi ketua atau pemimpin yang menerajui peperangan," katanya.

Siti berkata, saban tahun, acara perjumpaan itu menetapkan tema dalam berpakaian.

"Kali ini tiada simbolik tertentu. Setiap majlis memang ada tema ditetapkan. Contohnya, kembali ke sekolah, pakaian seragam dan balik kampung," katanya.

Mengenai usianya yang meningkat, Siti bersyukur terus disayangi.

"Saya terus disayangi termasuk dalam kalangan peminat. Begitu juga dikurniakan cahaya mata lengkap.

"Saya mohon Allah beri kemampuan dari segi iman bertambah dan kesihatan baik. Apabila sihat tubuh badan banyak perkara boleh saya buat dan berkongsi rezeki. Ini termasuk dalam cabang niaga.

"Saya berdoa diberi kelancaran dalam apa sahaja perkara dilakukan. Kalau sisi muzik, saya belum berpeluang merakamkan album Jazz.

"Malah, projek teater muzikal saya belum dapat direalisasikan," katanya.

Berita Harian X