Selasa, 18 Januari 2022 | 11:00am
Md Nasir menambah kemasukan produksi asing dapat meningkatkan reputasi negara sebagai pusat pembikinan filem seperti dilihat di Thailand. Foto Ihsan FINAS
Md Nasir menambah kemasukan produksi asing dapat meningkatkan reputasi negara sebagai pusat pembikinan filem seperti dilihat di Thailand. Foto Ihsan FINAS

FINAS promosi FIMI di luar negara

KUALA LUMPUR: Bagi merancakkan semula industri perfileman akibat impak penularan COVID-19, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) giat mempromosikan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dalam kalangan penerbitan tempatan dan antarabangsa.

FIMI yang diperkenalkan sejak 2012 menawarkan rebat tunai 30 peratus kepada penerbit tempatan dan luar negara yang menjalani penggambaran di Malaysia.

Walaupun sudah lama diperkenalkan, kewujudan FIMI kurang disedari. Malah, COVID-19 menjejaskan kemasukan produksi asing menjalani penggambaran di Malaysia.

Justeru, bagi merangsang dan menggalakkan aktiviti penggambaran di sini, FINAS akan menjelajah beberapa negara, Mei depan bagi mempromosikan FIMI kepada produksi asing.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata FIMI dibahagikan kepada dua kategori iaitu bagi filem tempatan dengan penerbit perlu menghasilkan karya pada bajet RM1 juta.

"Bagi produksi asing, mereka perlu menghasilkan filem pada bajet RM5 juta untuk layak menerima rebat.

"Pengenalan FIMI sejak 2012 membawa banyak kebaikan kepada negara. Sebelum ini, banyak produksi luar negara memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran," katanya sambil menambah FINAS berusaha mengemas kini data filem asing yang pernah menjadikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran.

Md Nasir berkata, FINAS mahu menggalakkan penerbitan filem berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Selain rebat 30 peratus, ada lagi insentif lain diberi kepada penerbit tempatan. Kita juga mengalu-alukan kedatangan produksi asing bagi membantu menjana semula ekonomi negara.

"Pada masa sama, kedatangan mereka dapat membantu memperkenalkan lokasi menarik di Malaysia serta meningkatkan sektor pelancongan," katanya.

Md Nasir menambah, kemasukan produksi asing dapat meningkatkan reputasi negara seperti dilihat di Thailand yang berjaya mengetengahkan budaya dan agama mereka kepada masyarakat dunia melalui filem.

"Kita sedang ke arah itu. Kita beri galakan dengan menawarkan rebat kepada penerbit luar dan membantu memudahkan kerja mereka ketika menjalani penggambaran di Malaysia.

"Bagi penerbit filem luar negara, selain perlu menepati syarat menghasilkan filem bajet RM5 juta ke atas, mereka perlu menggunakan tenaga kerja tempatan, tidak kira kru atau pelakon.

"Ini secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan untuk artis dan kru belakang tabir," katanya.

Md Nasir berkata, pemberian insentif seperti FIMI sudah lama dilaksanakan di Indonesia dan Singapura serta beberapa negara lain.

"Jika tidak silap, Indonesia juga beri insentif 30 peratus kepada produksi luar yang menjalani penggambaran di sana.

"Selain dapat membantu mempromosikan negara dan menawarkan peluang pekerjaan, banyak faedah tambahan diperoleh seperti perbelanjaan untuk penginapan, makanan, sewaan peralatan dan penggunaan studio bagi tujuan pasca produksi," katanya.

Sementara itu, Md Nasir berkata, FINAS sudah memeterai perjanjian bersama Australia untuk menerbitkan filem atau produk televisyen (TV) melalui inisiatif Co Production Treaty.

Selepas ini, lebih banyak projek usaha sama akan dijalin dengan beberapa negara seperti Kanada, China, Indonesia, Hong Kong, Pakistan dan India.

"Ini antara usaha membawa nama negara ke peringkat antarabangsa. Kita tahu bukan mudah untuk produk kita menembusi pasaran asing.

"Jadi, apabila adanya kerjasama dengan produksi luar negara, usaha menembusi dan mempromosikan filem jadi lebih mudah," katanya.

Melalui kerjasama itu, Md Nasir memberi contoh, penerbit Australia yang membuat penggambaran di Malaysia boleh menggabungkan pelakon dua negara atau menggunakan khidmat pengarah tempatan serta tenaga kerja lain.

"Filem atau produk yang diterbitkan itu pasti ditayangkan di kedua-dua negara, ia memudahkan lagi usaha kita untuk memasarkan produk tempatan di pasaran antarabangsa," katanya.

Berita Harian X