Ahad, 16 Januari 2022 | 6:50pm
Erra berharap tayangan filem Rumah menerima sambutan positif bagi menghargai usaha pengarahnya, Kay yang meninggal dunia secara mengejut. - Foto IG Erra Fazira
Erra berharap tayangan filem Rumah menerima sambutan positif bagi menghargai usaha pengarahnya, Kay yang meninggal dunia secara mengejut. - Foto IG Erra Fazira

Dahulu takut, kini Erra jatuh cinta?

KUALA LUMPUR: Aktres popular, Erra Fazira, 48, tidak pernah gemar menonton, jauh sekali, mahu membintangi filem bergenre seram sejak bergelar pelakon.

Bagaimanapun, aktres yang diperkenalkan menerusi filem Sembilu pada 1994 mula jatuh cinta dengan genre seram selepas membintangi filem Wangi, dua tahun lalu.

Terbaharu, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek kembali dengan naskhah seram menerusi filem Rumah arahan Kay dan terbitan Mojo Projects Sdn Bhd, sekali gus, membuka tirai lakonan pada tahun ini.

Erra berkata, dia mula menggemari dengan naskhah bergenre seram selepas filem Wangi.

"Naskhah genre seram tidak pernah saya gemari selama ini. Saya tak suka menonton filem seram, apatah lagi, membintanginya.

"Namun, akhirnya berjaya membuka pintu hati menerima cabaran membintangi filem seram hampir tiga dekad bergelar pelakon.

"Siapa sangka saya boleh pula membintangi dua filem seram dalam tempoh yang singkat. Saya akui, semakin selepas berlakon naskhah seram termasuklah filem Rumah," katanya kepada BH Online.

Selain Erra, filem Rumah turut dibintangi Puteri Balqis, Mak Jah, Sofea Shaheera, Asward Naslim, Shyrim, Riki Rikando, Iswadi, Mohd Afifi, Gusion Lal, Mashanum dan Mell Adnan.

Filem Rumah akan menemui penonton ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 24 Februari ini.

Filem Rumah menggandingkan Erra bersama Puteri Balqis dan Mak Jah. - Foto IG Erra Fazira
Filem Rumah menggandingkan Erra bersama Puteri Balqis dan Mak Jah. - Foto IG Erra Fazira

Berkongsi keistimewaan filem Rumah, Erra berkata, jalan cerita filem berkenaan menarik perhatiannya apabila mengetengahkan tema pemerkasaan wanita.

"Jalan cerita filem Rumah agak menarik sebab mengangkat tema pemerkasaan wanita.

"Saya adalah penyokong hak wanita, jadi, watak Maya yang juga ibu tunggal menghadapi cabaran meneruskan kehidupan agak berbeza karakter.

"Dalam menghadapi kegetiran hidup, Maya tetap berazam memberi kesenangan kepada keluarga kecilnya," katanya.

Erra berharap, tayangan filem Rumah akan menerima sambutan positif bagi menghargai usaha pengarahnya, Kay yang meninggal dunia secara mengejut pada

"Kay yang juga ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang aktif menghembus nafas terakhir pada usia 44 tahun," katanya.

Filem Rumah berkisarkan Maya yang bekerja keras untuk anaknya, Bella lakonan Puteri Balqis.

Di sebalik cabaran dihadapi dalam hidup, Maya berniat memberikan yang terbaik dan mencari rumah baharu untuk kediaman mereka. Pencarian membawa ke rumah teres lot tengah yang murah.

Tanpa berfikir panjang, Maya terus membelinya. Bagaimanapun, berlaku banyak kejadian seram di rumah baharu itu.

Bagi menambahkan elemen seram, filem Rumah menggunakan muzik digubah dan dirakam di luar negara, begitu juga kesan khas visual digital.

Berita Harian X