Ahad, 16 Januari 2022 | 11:00am
Amyra mengalami bengkak di kelenjar leher menyebabkannya sukar makan dan badan tidak cukup nutrisi melawan kesakitan. - Foto IG Amyra Rosli
Amyra mengalami bengkak di kelenjar leher menyebabkannya sukar makan dan badan tidak cukup nutrisi melawan kesakitan. - Foto IG Amyra Rosli

Amyra masuk wad bukan sebab hamil

KUALA LUMPUR: Pelakon Amar Baharin, 35, menafikan isterinya yang juga pelakon, Amyra Rosli hamil lagi selepas dimasukkan ke hospital sejak empat hari lalu.

Kata Amar, doktor mengesahkan Amyra demam disebabkan mengalami jangkitan kuman dalam darah, bukannya berbadan dua.

"Amyra sakit bukan sebab mengandung. Sebelum ini, saya bawa Amyra ke hospital disebabkan demam panas. Selepas membuat pemeriksaan kami dibenarkan pulang pada hari yang sama.

"Namun, suhu badan Amyra naik, jadi, saya memutuskan membawa semula ke hospital untuk meneruskan rawatan.

Doktor menasihatkannya menjalani rawatan dan berehat sekurang-kurangnya seminggu di hospital.

"Pemeriksaan doktor juga mengesahkan ada jangkitan kuman dalam darah. Kini, suhu badannya turun naik.

"Amyra juga mengalami bengkak di kelenjar pada lehernya. Itu yang membuatkannya susah nak makan, jadi, badan tidak cukup nutrisi melawan kesakitan," katanya kepada BH Online.

Amar berkata, Amyra juga sudah menjalani pemeriksaan 'ultrasound' untuk mendapatkan keputusan lebih terperinci, namun, keputusan belum keluar.

Terdahulu, Amar mengesahkan Amyra bebas daripada jangkitan COVID-19 selepas mengalami demam panas sehingga mencecah 40 darjah, baru-baru ini.

Amar mengesahkan Amyra bebas daripada jangkitan COVID-19 selepas mengalami demam panas sehingga mencecah 40 darjah. - Foto IG Amyra Rosli
Amar mengesahkan Amyra bebas daripada jangkitan COVID-19 selepas mengalami demam panas sehingga mencecah 40 darjah. - Foto IG Amyra Rosli

Katanya, isterinya perlu mendapatkan rawatan sekurang-kurangnya seminggu, jadi, penggambaran drama bersiri Jangan Menangis Cinta terpaksa dihentikan buat seketika.

"Penggambaran juga tidak boleh diteruskan kerana Amyra masih demam.

"Jadi, syarikat produksi terpaksa menghentikan penggambaran kerana banyak babak membabitkan Amyra. Jadual penggambaran juga perlu dirombak semula.

"Saya pula kini sedang menjalani penggambaran drama Hati Yang Dikhianati terpaksa berulang-alik ke lokasi dan hospital untuk menemani isteri.

"Lagipun, pelawat lain tidak dibenarkan masuk disebabkan bimbang berlaku jangkitan COVID-19. Jadi, sayalah yang perlu menemani Amyra," katanya.

Berita Harian X