Khamis, 13 Januari 2022 | 5:00pm
Farisha berharap single baharu, Baek dapat memperkukuhkan namanya dalam bidang seni suara. - Foto IG Farisha Iris
Farisha berharap single baharu, Baek dapat memperkukuhkan namanya dalam bidang seni suara. - Foto IG Farisha Iris

Farisha enggan cipta 'drama' untuk popular

KUALA LUMPUR: Biarpun perjalanan penyanyi Farisha Iris, 22, mencipta populariti tidak sebaik artis baharu lain, namun, tidak sesekali melakukan sebarang gimik murahan semata-mata mahu cepat dikenali ramai.

Baru sahaja muncul dengan single berjudul Baek berkolaborasi dengan penyanyi Alan D, Farisha berkata, dia tidak mahu peminat mengingatinya kerana 'drama' yang dicipta dalam media sosial.

Sebaliknya, naib juara program Idola Kecil musim keempat itu mahu peminat menerimanya kerana usahanya.

"Saya tidak gemar melakukan gimik. Bagi saya, pendekatan seperti ini tidak diperlukan oleh mana-mana penyanyi.

"Bagi saya, biarlah hasil kerja mendapat perhatian secara semula tanpa gimik. Mungkin sambutannya tidak hebat atau mampu menaikkan nama, tetapi hidup lebih senang tanpa perlu melalui fasa kecaman netizen.

"Saya mahu peminat menerima dan menghargai bakat saya kerana kerana usaha saya," katanya kepada BH Online.

Farisha berkata, dia perlu berusaha lebih gigih untuk memperkenalkan bakatnya, selain ingin menimba lebih banyak pengalaman dalam industri muzik.

Katanya, dia sedar namanya belum kukuh dan dikenali walaupun sudah lebih sedekad menyusun langkah sebagai penyanyi.

Baginya, dia tetap berpegang dengan prinsip tidak cepat berputus asa.

"Saya sedang mempertimbangkan untuk mengikuti kelas vokal bagi memperbaiki mutu nyanyian. Mungkin saya perlu mencuba bidang lain seperti lakonan atau pengacaraan.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang sesuai buat saya. Andai kata tiada rezeki dalam bidang nyanyian dan masih tidak berjaya, saya perlu menyusun langkah mencuba bidang lain," katanya.

Farisha sedar namanya belum kukuh dan dikenali walaupun sudah lebih sedekad menyusun langkah sebagai penyanyi. - Foto IG Farisha Iris
Farisha sedar namanya belum kukuh dan dikenali walaupun sudah lebih sedekad menyusun langkah sebagai penyanyi. - Foto IG Farisha Iris

Farisha atau nama sebenarnya, Farisha Asmadi berharap pertaruhannya menerusi single Baek hasil sentuhan Mingaling dan lirik oleh Amir Hasan diterbitkan 17 Eleven Music diterima peminat.

"Sing Baek ini mengisahkan wanita yang inginkan kejujuran lelaki dan mencari cinta sejati. Single Baek agak mencabar kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan genre pop.

"Muziknya sangat urban dan lebih kepada penceritaan. Walaupun macam senang mahu dinyanyikan, tetapi, ia sebenarnya mencabar vokal saya.

"Sewaktu sesi rakaman, saya memerlukan stamina dan teknik vokal yang baik. Saya juga mengutamakan pandangan penyanyi senior dalam industri bagi menghasilkan muzik dan vokal berkualiti.

"Dalam masa sama, kepuasan pendengar turut dititik beratkan. Siapa lagi akan menyokong bakat kalau bukan peminat," katanya yang berulang alik ke Mass Studio sejak awal tahun lalu untuk berkenalan dengan komposer dan penulis lirik Baek.

Ditanya kolaborasi dengan rapper, Alan D, Farisha berkata, dia teruja, apatah lagi, pernah mendengar lagu nyanyian Faizal Tahir bersama Alan D.

"Kali pertama diberitahu Alan D akan tampil dalam lagu ini, saya terus teringat lagu Luka Hati nyanyian Faizal dan Alan D.

"Secara kebetulan, saya memang sukakan lagu ini. Jadi, ini satu peluang besar untuk saya dan Alan D mempamerkan bakat yang kami ada.

"Jadi, besar harapan saya single Baek ini dapat maklum balas baik pendengar," katanya.

Berita Harian X