Rabu, 12 Januari 2022 | 3:00pm
Michael tidak kisah disamakan dengan Aliff Syukri yang dituduh sebagai perosak industri apabila bergelar penyanyi. - Foto IG Michael Ang
Michael tidak kisah disamakan dengan Aliff Syukri yang dituduh sebagai perosak industri apabila bergelar penyanyi. - Foto IG Michael Ang

Michael sindir Vida dalam lagu Cinta Atau Propa?

KUALA LUMPUR: Akaun media sosial Michael Ang seakan dijadikan medan oleh penerbit dan pengarah sensasi itu mengkritik apa sahaja isu semasa, tak kira sama ada membabitkan rakan artis ataupun pengasas produk, malah, ramai sudah menjadi 'mangsa' kritikannya.

Ada kala, sikap terlalu lantang kurang disenangi rakan artis yang dikritik hingga menyebabkan hubungan Michael dengan beberapa rakan selebriti menjadi dingin.

Baru-baru ini, Michael yang juga pengarah drama Sweet Dreams dan Setelah Terlafaznya Akad membuat kejutan apabila mencuba nasib sebagai penyanyi.

Single pertama berjudul Cinta Atau Propa dilancarkan sejak minggu lalu menerima maklum balas berbeza.

Ada yang menggemari lagu ciptaan Killa Driz, namun, tidak kurang yang menyamakan Michael dengan Datuk Seri Aliff Syukri yang hanya merosakkan industri muzik tanah air.

Bukan sahaja di kalangan netizen, malah, ramai rakan selebriti seperti Datuk Fizz Fairuz, Sharnaaz Ahmad dan Datuk Seri Vida antara yang mengkritik percubaan pertama bergelar penyanyi.

Bagi Michael, setiap orang mempunyai hak untuk mengkritik sama lagu itu sedap atau sebaliknya.

"Saya tidak akan membalas kritikan netizen kerana menghormati pendapat mereka.

"Malah, saya sendiri tidak akan mengkritik lagu baharu yang dikeluarkan seseorang penyanyi. Sebaliknya, saya hanya akan mengkritik mutu nyanyian penyanyi yang menyertai program realiti seperti Gegar Vaganza kerana itulah tujuan program berkenaan diperkenalkan.

"Sama juga seperti drama terbitan syarikat produksi saya. Saya tidak pernah melatah jika ada orang yang beranggapan drama saya tidak 'best'. Ini kerana itu adalah pandangan dan hak masing-masing. Setiap orang memiliki pendapat yang berbeza," katanya kepada BH Online.

Mengulas pandangan menyamakannya dengan Datuk Seri Aliff Syukri, malah, netizen mengutuk seolah-olah merosakkan industri muzik, Michael berkata, jika ingin menyamakannya dengan Aliff Syukri, silakan...

"Tetapi, saya menyanyi tidak sumbang dan apabila mendengar semula, saya merasakan suara sedap.

"Lagipun, bukan saya tergedik-gedik mahu bergelar penyanyi. Aliff Syukri dan Vida keluar duit sendiri untuk menjadi penyanyi. Tetapi, saya tidak perlu keluar duit, ada orang melamar saya untuk menyanyi," katanya.

Michael terima tawaran menyanyi untuk mencabar diri, selain memenuhi tiga impian yang belum tercapai. - Foto IG Michael Ang
Michael terima tawaran menyanyi untuk mencabar diri, selain memenuhi tiga impian yang belum tercapai. - Foto IG Michael Ang

Michael atau nama sebenarnya, Michael Ang Hai Swee juga menepis tanggapan dirinya tamak. Sudah bergelar pengarah, penerbit, pengacara dan pelakon, kini, mahu menjadi penyanyi pula.

"Jika orang tuduh saya tamak pun terpulanglah. Saya menyanyi bukan sebab duit, kita pun tahu berapa sangat royalti yang boleh dapat.

"Saya terima tawaran menyanyi kerana saya sedang berada pada fasa paling teruk dalam hidup sehingga diserang kemurungan ketika itu.

"Jadi, saya terima tawaran menyanyi untuk mencabar diri, di samping memenuhi salah satu daripada tiga impian saya yang belum tercapai.

"Sebenarnya, saya hampir menarik diri kerana tidak yakin. Saya katakan kepada pasukan Indigtal Music, jika lagu ini tidak sedap dan 'busuk', saya takkan menyanyi.

"Namun, tak sangka pula mendengar lagu Cinta Atau Propa saya suka dan bersetuju meneruskannya," katanya.

Dijolok adakah lagu Cinta Atau Propa ditujukan kepada individu tertentu? Malah, difahamkan Vida dikatakan terasa dengan lagu berkenaan, Michael berkata, sejujurnya, siapa makan cili, akan terasa pedas.

"Namun, hakikatnya lagu ini tidak ditujukan kepada Vida atau sesiapa pun.

"Lagu Cinta Atau Propa tiada kena mengena dengan sesiapapun, sebaliknya ia berkaitan hidup saya.

"Ia ditujukan kepada dua kategori iaitu pekerja dan diri saya. Jadi, Vida janganlah perasaan lagu ini dituju kepadanya," katanya.

Berita Harian X