Selasa, 11 Januari 2022 | 1:00pm
Fizie dan Mek Zura mula kenal sejak zaman bujang
Fizie dan Mek Zura mula kenal sejak zaman bujang

Fizie kembali ke konti celoteh dengan Mek Zura

KUALA LUMPUR: Umpama sirih pulang ke gagang, selepas enam bulan meninggalkan stesen radio Hot FM, Fizie Roslan menyertai Molek FM yang mula beroperasi, kelmarin.

Molek FM dengan tagline 'Gu Pantai Timur' menjadi stesen radio kelima di bawah naungan Media Prima Audio (MPA) selain Hot FM, Buletin FM, Fly FM dan 8FM.

Fizie atau nama sebenarnya Mohamad Hafizie Roslan berkata, keputusannya kembali ke udara melalui stesen MPA didorong rakan gandingannya, Mek Zura.

Fizie dan Mek Zura mengendalikan segmen, Molek Pagi setiap Ahad hingga Khamis mulai jam 6 hingga 10 pagi.

"Saya dan Mek Zura kenal sejak zaman bujang ketika menjadi penyampai radio di Kelantan. Cuma, kami tidak pernah berganding selama ini.

"Tawaran kembali menjadi penyampai radio ini diterima kira-kira tiga bulan lalu.

"Selain Molek FM, ada tawaran lain diterima. Namun, saya bertekad selepas meninggalkan Hot FM, saya mahu beralih angin buat kerja lain.

"Siapa sangka jodoh saya kuat dengan MPA dan Molek FM," katanya kepada BH Online.

Fizie menganggap 'umpan' Molek FM mengena atas faktor gandingan bersama Mek Zura.

"Mek Zura menjadi faktor terbesar saya buat keputusan ini. Lebih seminggu saya ambil untuk bersetuju.

"Saya optimis boleh lakukan sesuatu melalui gandingan bersama Mek Zura," katanya ketika ditemui pada majlis Bekwoh Santai Molek FM di sebuah premis acara di Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Nazri (tengah) bersama barisan penyampai radio, Molek FM pada majlis Bekwok Santai Molek FM di Damansara Perdana. - NSTP/Aswadi Alias
Nazri (tengah) bersama barisan penyampai radio, Molek FM pada majlis Bekwok Santai Molek FM di Damansara Perdana. - NSTP/Aswadi Alias

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran.

Jika diikutkan, Fizie yang kini menggunakan nama komersial Fizie Roslan mahu berehat lebih lama.

Namun, tawaran Molek FM membuatkan dia berbelah bahagi dan akhirnya memendekkan waktu rehat.

"Saya mahu fokus kepada usaha mengukuhkan cabang perniagaan diterokai termasuk kedai mengecat kereta. Malah, saya merancang melancarkan perkhidmatan cuci motosikal menggunakan mesin automatik di Meru, Klang.

"Saya juga menjadi hos untuk program Didik TV. Setiap kali mengacarakan program itu di Sri Pentas, saya lalu depan konti radio dan rindu dengan kerja lama," katanya.

Mengenai gandingannya dengan Mek Zura yang belum meluas diterima, Fizie tidak melihat perkara itu sebagai tekanan.

"Saya bermula daripada tahap biasa sebelum dikenali. Jadi, ini bukan isu besar. Malah, tiada istilah 'aku 'senior', aku hebat'. Jauh sekali berlagak diva... Semua sama sahaja," katanya yang dilahirkan di Taiping, Perak dan membesar di Kota Bharu, Kelantan.

Selain Fizie dan Mek Zura, Molek FM membariskan penyampai lain iaitu Izzul, Kai Hassan dan Mat Dan.

Molek FM boleh didengari menerusi frekuensi 105.1 FM di Kota Bharu dan 93.6 FM di Kuala Terengganu.

Selain itu, Molek FM boleh diikuti secara live streaming di www.molekfm.audio atau YouTube Molek TV.

Berita Harian X