Selasa, 11 Januari 2022 | 11:00am
Masalah pernafasan membuatkan prestasi nyanyian Mark terjejas apabila agak sukar mengekalkan nota sesebuah lagu. - Foto IG Mark Adam
Masalah pernafasan membuatkan prestasi nyanyian Mark terjejas apabila agak sukar mengekalkan nota sesebuah lagu. - Foto IG Mark Adam

Cemas hilang suara

KUALA LUMPUR: Disahkan positif COVID-19, bulan lalu, penyanyi dan pelakon, Mark Adam, 43, berkongsi kisah bagaimana dirinya berdepan masalah pernafasan hingga lontaran vokal terjejas kesan jangkitan itu.

Mark memberitahu, keadaan itu menggusarkan berikutan bidang nyanyian menjadi punca rezeki selama ini.

"Alhamdulillah, saya dan isteri sudah pulih daripada COVID-19 sepenuhnya. Namun, kesan virus ini mula dirasakan apabila nyanyian tidak sama seperti dahulu.

"Masalah pernafasan membuatkan prestasi nyanyian terjejas. Agak sukar untuk saya mengekalkan nota sesebuah lagu.

"Bagaimanapun, mujur ada rakan dalam bidang perubatan yang memberi tunjuk ajar dalam amalan senaman bagi menguatkan paru-paru.

"Setiap pagi, saya kena amalkan teknik senaman paru-paru bagi tempoh lima minit," katanya ditemui BH Online pada pentas akhir program realiti, Hijrahkan Laguku di Studio TV AlHijrah di ibu negara, Sabtu lalu.

Mengulas keadaan dirinya sepanjang tempoh kuarantin kendiri, Mark atau nama penuh, Fikri Mark Adam Abdullah berkata, rasa bimbang sentiasa menghantui.

"Apabila dijangkiti COVID-19, pasti pelbagai perkara terbayang dalam fikiran. Suatu perkara membuatkan saya trauma adalah ketika mahu memeriksa tahap bacaan oksigen dalam tubuh.

"Setiap malam, selepas menggunakan peranti pintar dan alat pengukur kadar oksigen iaitu pulse oximeter untuk memantau bacaan oksigen, rasa 'paranoid' pasti timbul.

"Saya bimbang berlaku perkara tidak diingini. Berbeza keadaan isteri yang tidak menunjukkan gejala, saya hilang deria rasa dan bau. Apa yang pelik, walaupun demam, suhu badan tidak panas.

"Disebabkan tiada deria rasa, saya makan banyak semata-mata mahu mendapatkan deria kembali," katanya yang mula dikenali menerusi lagu Pencuri ini.

Mark dan isterinya, Norazah sudah pulih daripada COVID-19 sepenuhnya. - Foto IG Mark Adam
Mark dan isterinya, Norazah sudah pulih daripada COVID-19 sepenuhnya. - Foto IG Mark Adam

Mark sempat menitipkan pesanan kepada peminat agar sentiasa menjaga diri bagi mengelak jangkitan COVID-19.

"Saya tidak tahu bagaimana boleh dijangkiti virus ini. Dua hari sebelum disahkan positif COVID-19, saya mengikuti misi bantuan banjir.

"Saya tidak pasti apakah dijangkiti dalam misi itu," katanya.

Sementara itu, mengulas impak pembabitannya dalam program realiti, Hijrahkan Laguku, bekas penyampai radio Hot FM itu mendedahkan keinginan mendalami ilmu agama makin bertambah.

"Saya seronok mendengar kisah nabi dan banyak menimba ilmu baharu sepanjang program Hijrahkan Laguku.

"Biarpun program realiti ini sudah berakhir, saya akan terus mendalami ilmu agama. Namun, kerjaya seni saya masih seperti biasa.

"Saya terima apa sahaja rezeki yang Allah beri. Sejak pendemik, saya terima tawaran berlakon dan banyak karya akan ditayangkan tahun ini," katanya.

Dilahirkan di Cebu, Filipina, Mark berhijrah ke Malaysia pada 2001. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Norazah Redzuan yang menjadi pengurusnya sejak 2003.

Berita Harian X