Isnin, 10 Januari 2022 | 8:30am
Kes curi rakam yang didakwa membabitkan Ameera mencetuskan polemik mengenai sikap tidak ambil peduli segelintir pihak terhadap isu hak cipta dan perlindungan harta intelek di negara ini. Foto IG Little Miss Khan
Kes curi rakam yang didakwa membabitkan Ameera mencetuskan polemik mengenai sikap tidak ambil peduli segelintir pihak terhadap isu hak cipta dan perlindungan harta intelek di negara ini. Foto IG Little Miss Khan

Risau curi rakam jadi budaya

KUALA LUMPUR: Kes selebriti media sosial yang juga adik Neelofa, iaitu Nur Ameera Khan didakwa merakam babak dalam filem House Of Gucci dan berkongsi di Instagram Story (IGs), baru-baru ini, mencetuskan polemik mengenai sikap tidak ambil peduli segelintir pihak terhadap isu hak cipta dan perlindungan harta intelek.

Insiden itu menimbulkan kebimbangan apakah pelaku tidak menghiraukan peraturan berhubung aksi curi rakam hingga sanggup melanggar undang-undang semata-mata mahu menghasilkan kandungan buat tatapan pengikut media sosial.

Banyak pihak menganggap, sebagai pempengaruh media sosial, biar apa pun tujuan klip video filem memaparkan babak filem Hollywood itu dimuat naik, perbuatan Ameera atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan, tidak sepatutnya dianggap normal.

Insiden itu menarik perhatian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memandang serius kegiatan curi rakam yang dikategorikan sebagai cetak rompak digital.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, jika sabit kesalahan, pihak pemamer atau pemilik pawagam boleh mengambil tindakan tegas terhadap selebriti terbabit.

"Saya ada dua pandangan terhadap isu ini. Jika selebriti terbabit adalah pemain (pelakon) dalam sedutan filem yang ditayangkan dan mendapat kebenaran penerbit, perkara ini boleh disifatkan sebagai promosi dan tiada isu perundangan.

Md Nasir menjelaskan FINAS memandang serius kes curi rakam dan mengingatkan pelaku tindakan boleh diambil terhadap mereka. Foto Ihsan FINAS
Md Nasir menjelaskan FINAS memandang serius kes curi rakam dan mengingatkan pelaku tindakan boleh diambil terhadap mereka. Foto Ihsan FINAS

"Sebaliknya, jika seseorang selebriti menggunakan alat perakam pandang dengar dalam bilik tayangan untuk merekod apa-apa filem secara keseluruhan atau sebahagian tanpa kebenaran penerbit, maka selebriti terbabit melakukan kesalahan," katanya kepada BH Online.

Dalam hal ini, Md Nasir berkata, pawagam boleh mengenakan tindakan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membabitkan Akta 322, Bahagian VIA Antirakaman Kamera.

"Menurut Perkara 43A, jika disabitkan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Selain itu, tambah Md Nasir, undang-undang lain yang berkaitan adalah Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987; Seksyen 232 (B) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Dalam hal ini, FINAS tidak ada kuasa perundangan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana selebriti yang melakukan kesalahan disebutkan.

"Peraturan FINAS hanya tertakluk kepada pemegang lesen pemameran (tayangan pawagam) sahaja.

"Bagaimanapun, sebagai Jawatankuasa Cetak Rompak dan Jawatankuasa Teknikal menangani kandungan cetak rompak, FINAS membantu agensi KPDNHEP dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Ini dibuat melalui apa dipanggil 'fast lane' iaitu melalui borang khas bagi melaporkan salah laku pelaku dalam memuat naik secara penuh sesebuah filem atau drama atau apa-apa format tempatan tanpa kebenaran pemilik di mana-mana platform media sosial," katanya.

Md Nasir berkata, jika sabit kesalahan, FINAS boleh melaporkannya kepada Polis Diraja Malayia (PDRM) dan Cybersecurity Malaysia.

"Namun, pemilik sebenar filem atau drama perlu ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata, FINAS menasihatkan mana-mana individu agak mengelak daripada merakamkan apa-apa filem secara keseluruhan atau sebahagian tanpa kebenaran penerbit.

"Perkara ini sudah banyak kali diumumkan melalui media massa dan media sosial sebagai peringatan kepada semua pihak. Namun, masih ada yang bersikap acuh tidak acuh mengenainya.

"Kadang-kadang kesalahan yang kita lakukan terlepas kerana tiada aduan. Tetapi jika ada pihak yang mengadu dan pemilik filem atau drama tahu perkara terbabit, mungkin mereka akan dikenakan tindakan.

"Kalau pelaku kesalahan itu adalah selebriti dan disabit kesalahan, secara tidak langsung perbuatan mereka akan menyebabkan kerugian daripada segi kewangan dan imej mereka juga terjejas," katanya.

Berita Harian X