Ahad, 9 Januari 2022 | 8:01am
Shahir menerima plak dan hadiah wang tunai RM100,000 selepas menjuarai musim pertama program realiti, Hijrahkan Laguku anjuran TV AlHijrah, malam tadi. Foto NSTP Saifulizan Tamadi
Shahir menerima plak dan hadiah wang tunai RM100,000 selepas menjuarai musim pertama program realiti, Hijrahkan Laguku anjuran TV AlHijrah, malam tadi. Foto NSTP Saifulizan Tamadi

Shahir Zawawi juara Hijrahkan Laguku

KUALA LUMPUR: Kekuatan mesej dalam lagu dan konsep persembahan memberi kelebihan kepada Shahir Zawawi meraih gelaran juara pertama program realiti, Hiijrahkan Laguku yang disiarkan dari Studio TV AlHijrah di sini, malam tadi.

Bertemakan Langit Tanpa Bintang, kemenangan Shahir yang membawa dua lagu iaitu Madahku secara solo dan Perjalanan Jiwa yang didendangkan bersama Datuk Nash, membolehkan bekas juara Akademi Fantasia (AF) ini membawa pulang wang bernilai RM100,000.

Pentas akhir itu turut mencipta kejutan apabila tiada naib juara diumumkan. Sebaliknya, finalis lain iaitu Nash, Iwan Syahman dan Mark Adam masing-masing memenangi wang tunai RM20,000.

Pada malam kemuncak itu, Iwan yang suatu ketika dahulu terkenal dengan irama dangdut, menerima Anugerah Sawa' Assabil dengan ganjaran wang tunai RM3,000 yang bakal diwakafkan kepada badan kebajikan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Mesej dalam lagu dan konsep persembahan Shahir menambat hati juri hingga diangkat sebagai juara musim pertama program realiti, Hijrahkan Laguku anjuran TV AlHijrah, malam tadi. Foto NSTP Saifullizan Tamadi
Mesej dalam lagu dan konsep persembahan Shahir menambat hati juri hingga diangkat sebagai juara musim pertama program realiti, Hijrahkan Laguku anjuran TV AlHijrah, malam tadi. Foto NSTP Saifullizan Tamadi

Persembahan peserta dibahagikan kepada dua fasa. Pentas akhir mengangkat tema cerita berpaksikan Pesanku manakala tema lagu pula, Dari Hati Ke Hati.

Dikendalikan Faizal Ismail dan Bell Ngasri, program berkonsep dakwah menerusi lagu ini menggunakan format markah 80 peratus juri profesional dan 20 peratus pilihan penonton.

Hijrahkan Laguku diadili komposer Fauzi Marzuki selaku ketua juri dan dibantu Hazamin daripada kumpulan Inteam. Ustaz Don Daniyal Don Biyajid pula bertindak sebagai penceramah jemputan.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa Zamani, Cat Farish dan Mawi.

Sepanjang lapan minggu disiarkan, Hijrahkan Laguku turut menampilkan Pengeran Adam, Zaf VE, Zack Kool dan Rahmad Mega sebagai peserta.

Berita Harian X