Sabtu, 8 Januari 2022 | 3:00pm
Shukri tidak kisah berkongsi idea bersama Janna dan Khai demi membantu menyokong menyerlahkan karakter dalam drama Shakira. - Foto IG Shukri Yahaya
Shukri tidak kisah berkongsi idea bersama Janna dan Khai demi membantu menyokong menyerlahkan karakter dalam drama Shakira. - Foto IG Shukri Yahaya

Shukri takkan 'benam' pelakon gandingan

KUALA LUMPUR: Watak hero umpama 'makanan ruji' buat aktor kacak, Shukri Yahaya, 34.

Namun, pelakon yang mencetuskan fenomena menerusi drama 7 Hari Mencintaiku dan Andainya Takdir itu tidak pernah menganggap bintang utama sahaja berperanan menggerakkan keseluruhan karya yang dipertontonkan.

Bagi Shukri, setiap pelakon tidak mengira watak utama mahupun pembantu mempunyai peranan sama penting dalam menghidupkan karakter yang dijayakan.

Shukri berkata, dia tidak pernah bersaing mahupun cuba 'memakan' pelakon lain dalam setiap drama yang dibintangi.

"Saya selalu membayangkan bukan hero atau heroin sahaja yang akan menguatkan jalan cerita sesebuah drama. Sebaliknya, setiap babak, ada hero masing-masing.

"Sebab itu, saya suka berkongsi tip dan pengalaman dengan pelakon lain apa yang boleh ditambah sekiranya ada kekurangan pada babak dilakonkan.

"Saya bukan ingin tunjuk pandai atau mahu mengajar, tetapi inginkan yang terbaik untuk drama yang dilakonkan," katanya yang muncul dengan drama terbaharu berjudul Shakira arahan Idora Abdul Rahman yang mengisi slot Akasia di TV3.

Shukri ditemui pada sidang akhbar drama Shakira terbitan Wiranusa Corporation Sdn Bhd secara virtual pada Khamis lalu. Selain Shukri, drama Shakira turut dibintangi Janna Nick, Khai Bahar, Ramona Zamzam, Syerinie Myra, Marissa Yasmin, Edika Yusof dan ramai lagi.

Shukri bersama dua sahabatnya, Janna dan Khai yang sudah sekian lama saling mengenali apabila terbabit dalam satu acara perlumbaan. - Foto Ihsan TV3
Shukri bersama dua sahabatnya, Janna dan Khai yang sudah sekian lama saling mengenali apabila terbabit dalam satu acara perlumbaan. - Foto Ihsan TV3

Aktor kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia bersama pengarah, Idora banyak berkongsi idea dengan Khai yang membawakan watak adik iparnya.

"Saya tahu Khai pernah berlakon, tetapi, saya dan Idora memberikan idea supaya lakonannya lebih menyerlah.

"Saya, Janna dan Khai saling mengenali dan sering terbabit dalam satu acara, sejak hampir empat tahun lalu, jadi, ia memudahkan kami saling menegur kekurangan masing-masing.

"Lagipun, Khai seorang terbuka untuk belajar dan boleh menerima pendapat orang lain. Jika, Khai seorang yang 'poyo', saya mungkin tidak menghiraukannya.

"Namun, saya selesa untuk menegur disebabkan sikapnya yang merendah diri. Saya lakukan semua ini kerana ingin memastikan setiap pelakon menyerlah," katanya kepada BH Online.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia sering berpesan kepada Khai agar jangan terlalu mencuba.

"Jika terlalu menghafal skrip, ia akan kelihatan seperti membaca buku.

"Tetapi, Khai terima teguran saya. Sedangkan, Khai seorang penyanyi yang hebat.

"Khai ikhlas terima pendapat saya walaupun boleh sahaja mengabaikannya," katanya.

Katanya, dia bukan ingin menunjukkan dirinya seorang pelakon yang 'bagus'.

Selepas drama Suami Tanpa Cinta, Shukri dan Janna mencuri perhatian dengan telatah menggeletek hati dalam Shakira. - Foto Ihsan TV3
Selepas drama Suami Tanpa Cinta, Shukri dan Janna mencuri perhatian dengan telatah menggeletek hati dalam Shakira. - Foto Ihsan TV3

Malah, katanya, ada kala Idora dan Khai juga ada menegurnya, sekiranya merasakan lakonannya keterlaluan.

"Sekiranya merasakan lakonan saya keterlaluan, mereka akan minta saya 'tone down'.

"Saya terima dan tidak ada salahnya untuk saya menerima pendapat orang lain," kata aktor yang pernah menggenggam trofi Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Shukri atau nama sebenarnya, Mohammad Shukri Yahaya berkata, dia tidak akan memberikan pendapatnya sebarangan tanpa melihat kepada sikap pelakon terlebih dahulu.

Sebaliknya, katanya, dia akan melihat 'vibes' pelakon yang digandingkan bersamanya.

"Saya tidak akan suka-suka memberikan idea, sebaliknya, akan memerhatikan karakter rakan gandingan. Jika mereka membawakan aura yang baik, tiada masalah untuk saya berkongsi ilmu.

"Namun, sekiranya pelakon berkenaan menunjukkan sikap sebaliknya, saya tidak akan berbuat demikian.

"Setakat ini, saya belum pernah berdepan dengan pelakon baharu yang besar kepala. Malah, saya juga tidak pernah berasa terbeban berlakon dengan pelakon baharu," katanya.

Sementara itu, selain mengagumi sikap penyanyi kelahiran Perlis itu yang terbuka menerima teguran, Shukri yang mula melakar nama dalam dunia lakonan menerusi filem Dunia Taiko arahan Osman Ali turut mengagumi kesungguhan Khai yang sanggup mengikuti kelas lakonan sebagai persediaan.

"Saya kagum kesungguhan Khai mengikuti kelas lakonan sebelum masuk ke lokasi penggambaran drama Shakira.

"Selain itu, saya juga melihat kesungguhan Khai di lokasi. Dalam drama, terdapat beberapa babak Khai perlu menyanyi secara busking.

"Apa yang membuat saya lebih kagum padanya, setiap babak membabitkan nyanyian dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Khai akan menyanyi betul-betul, walaupun babak ini perlu dilakukan berulang-kali, tetapi, momentum Khai tetap sama," katanya.

Berita Harian X