Jumaat, 7 Januari 2022 | 6:00pm
Aina tampil dengan busana putih rekaan Masyadi Mansoor ketika menyampaikan lagu Sepi, manakala penampilan kedua rekaan Melinda Loii berduet bersama Khai menerusi lagu Nafas Cinta. - Foto IG Aina Abdul
Aina tampil dengan busana putih rekaan Masyadi Mansoor ketika menyampaikan lagu Sepi, manakala penampilan kedua rekaan Melinda Loii berduet bersama Khai menerusi lagu Nafas Cinta. - Foto IG Aina Abdul

Fesyen pelik Aina terus dikecam

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aina Abdul tidak kisah biarpun berterusan dikritik mengenai imej, fesyen dan penampilannya.

Terbaharu, penyanyi lagu Sumpah dan Semalam itu dicerca apabila dua busana diperagakan pada Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-36 (SFMM36) disamakan dengan selimut 'toto' dan bulu ayam.

Aina tampil dengan busana putih rekaan Masyadi Mansoor ketika menyampaikan lagu Sepi, manakala penampilan kedua berduet bersama Khai Bahar menerusi lagu Nafas Cinta, rekaan Melinda Looi.

Rentetan busana unik yang digayakan pada dua malam berkenaan, peminat memohon agar Aina tidak tampil dengan fesyen pelik pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36.

Bagaimanapun, wanita kelahiran Negeri Sembilan itu seperti biasa tidak sedikit pun mengambil hati dengan komen sinis warga maya.

Aina berkata, biarpun pakaiannya dikatakan pelik, namun dirinya tidak merasakan sedemikian kerana dua busana itu hasil rekaan dua pereka fesyen terkenal.

"Saya tidak merasakan apa yang saya pakai pelik, tetapi sekiranya penonton merasakan sebegitu, itu terserah pada pendapat masing-masing.

"Dua busana ini hasil sentuhan pereka fesyen hebat. Mereka juga insan yang cukup berpengalaman dalam dunia fesyen.

"Apa yang digayakan menjadi salah satu cara untuk saya mengekspresikan muzik dan lagu, selari dengan fesyen.

"Berhubung permintaan peminat agar tidak tampil dengan fesyen pelik pada malam AJL36, apa yang boleh dikatakan, saya ingin mengetengahkan 'permainan ' yang berbeza," katanya kepada BH Online.

Biarpun pakaiannya dikatakan pelik, namun, Aina tidak merasakan sedemikian kerana busana pilihannya rekaan dua pereka fesyen terkenal. - Foto IG Aina Abdul
Biarpun pakaiannya dikatakan pelik, namun, Aina tidak merasakan sedemikian kerana busana pilihannya rekaan dua pereka fesyen terkenal. - Foto IG Aina Abdul

Aina yang mara ke pentas AJL36 menerusi dua lagu, Sepi ciptaannya dan lirik pula sentuhan bersama Wan Zakaria.

Manakala, lagu duet Nafas Cinta ciptaan Aina bersama Khai, manakala lirik ditulis Aina bersama Wan Zakaria.

Aina berkata, dia ingin memberikan sepenuhnya kepada persembahan dan susunan lagu. Seterusnya, barulah memikirkan soal busana yang bakal digayakan.

Mengulas harapan untuk AJL36, Aina akui, sesiapa yang memasuki pertandingan berprestij pasti mempunyai impian mahu untuk menang.

Namun, katanya, dia menyerahkan pada takdir dan memohon peminat mendoakan perjalanannya dipermudahkan.

"Semua finalis AJL36 pastinya mengejar menjadi juara, begitu juga saya.

"Bagaimanapun, saya berbesar hati apabila ramai menyukai duet saya bersama Khai. Apa yang kami tampilkan bukanlah dibuat-buat, tetapi, ikhlas dari hati kami.

"Alhamdulillah, ramai nampak 'chemistry' saya dan Khai. Doakan kami dapat memberikan persembahan terbaik dan diingati.

"Bukan sahaja untuk lagu Nafas Cinta, tetapi juga lagu Sepi," katanya.

Berita Harian X