Jumaat, 7 Januari 2022 | 3:00pm
Nico reda apabila kedai makan di Menara PJD, Jalan Tun Razak ditenggelami air hingga memusnahkan barang-barang biarpun baru beroperasi semula selepas terkesan dengan pandemik COVID-19. - Foto Ihsan Nico
Nico reda apabila kedai makan di Menara PJD, Jalan Tun Razak ditenggelami air hingga memusnahkan barang-barang biarpun baru beroperasi semula selepas terkesan dengan pandemik COVID-19. - Foto Ihsan Nico

Kedai makan Nico tenggelam paras kepala

KUALA LUMPUR: Ujian Tuhan tidak pernah berhenti. Pada saat baru sahaja bernafas daripada ujian pandemik COVID-19, kini medan selera yang diusahakan penyanyi rap, Nico, 50, berdepan dengan musibah banjir.

Baru sahaja memulakan membuka perniagaan semula di Menara PJD, Jalan Tun Razak selepas beberapa bulan dihentikan operasi, premis makanannya itu ditenggelami air dalam kejadian banjir, baru-baru ini.

Nasibnya seakan-akan sama dengan lagu yang sering dinyanyikan, Inilah Nasibku, Nico G yang juga anggota kumpulan rap popular era 1990-an, Nico reda dengan ujian Allah buatnya.

Nico atau nama sebenarnya, Abdul Fashah Abdul Aziz, 50, bagaimanapun tidak menyangka ramai menyayanginya ketika berdepan kegetiran hidup.

Katanya, dia mengalami kerugian lebih RM8,000 akibat kejadian itu.

"Peralatan kedai makan rosak apabila air masuk mencecah paras kepala. Saya ambil masa seminggu membersihkan kedai ini. Ada juga barangan hilang, mungkin dihanyutkan air banjir.

"Jika ikutkan, saya menetap di Kampung Baru dan sudah terbiasa dengan banjir. Jadi, saat kejadian ini berulang lagi dan terkena pula kedai makan, saya harus cekal hati," katanya kepada BH Online.

Nico bersama anggota kumpulan Nico G, Affa dan Dino ketika menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim kelapan, baru-baru ini. - Foto IG Nico
Nico bersama anggota kumpulan Nico G, Affa dan Dino ketika menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim kelapan, baru-baru ini. - Foto IG Nico

Nico berkata, banyak persembahan ambang tahun baharu dibatalkan pada saat akhir kerana menghormati musibah banjir ini.

"Namun, saya terkejut apabila pelawak dan pengarah, Opie Zami muncul dan menawarkan peluang berlakon sitkom berjudul Sketsa Awesome arahannya yang akan disiarkan di Awesome TV.

"Sitkom 13 episod ini akan memulakan penggambaran hujung bulan ini. Ada jugalah duit untuk menampung semula kerugian yang ditanggung.

"Selama ini, Opie antara yang suka memberikan ruang kepada saya mencari rezeki sejak 2018 lagi," katanya.

Nico berkata, dia tidak mahu terus membebankan orang sekeliling bersimpati dengan nasibnya.

"Siapa yang tahu saya dilanda musibah dan nak tolong, saya terima. Jika tak tahu, saya selesa membiarkan ia terus tidak diketahui.

"Pada era pandemik dan musibah banjir ramai yang berdepan dengan detik sukar, bukan saya sahaja," katanya.

Katanya, bantuan banjir melanda premis perniagaan berasaskan juadah Cina Muslim dan roti bakar itu juga sudah dipanjangkan.

"Saya minta bantuan kerajaan dan pertubuhan berkaitan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN). Laporan polis juga sudah dibuat. Tak ketinggalan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Saya masih menunggu maklum balas. Dalam pada itu, ada juga orang perseorangan yang membantu saya," katanya.

Berita Harian X