KUALA LUMPUR: Program realiti, Hijrahkan Laguku akhir bakal menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan penyanyi otai dan baharu.
Bakal berlangsung pada Sabtu ini, bekas penyanyi dangdut, Iwan Shahman dan Datuk Nash mewakili penyanyi otai, manakala Shahir Zawawi dan Adeep Nahar yang menggantikan Mark Adam disahkan positif COVID-19 pula wakil bagi generasi baharu.
Pengumuman empat finalis yang berjaya mara ke peringkat akhir diumumkan ketika program Hijrahkan Laguku separuh akhir, Sabtu lalu.
Ia sekali gus menyaksikan dua peserta, Zaf VE dan PG Adam yang berada dalam kedudukan terendah tersingkir pada peringkat separuh akhir itu.
Menerusi pentas separuh akhir, Shahir diumumkan sebagai pemenang Bintang Qudwah dengan membawa pulang wang tunai RM3,000.
"Saya anggap program realiti, Hijrahkan Laguku hadir pada waktu tepat ketika saya berusaha mahu membuat kemunculan semula. Melangkah ke pentas akhir juga rezeki yang tidak pernah diduga.
"Namun, bersaing dengan penyanyi berpengalaman, Iwan, Nash dan Adeep pula satu cabaran buat saya.
"Semoga usahakan kembali melakar nama dipermudahkan," katanya kepada BH Online.
Wang kemenangan itu bakal diwakafkan kepada badan kebajikan.
Sementara itu, PG Adam berkata, dia reda dengan keputusan dibuat sejak awal menyertai program realiti itu.
"Saya reda andainya tersingkir. Saya memang tak jangka mampu bertahan hingga ke peringkat separuh akhir.
"Saya mengharapkan penonton dapat manfaat daripada lagu dipersembahkan.
"Pada masa sama, saya harap program realiti ini akan diteruskan pada musim hadapan," ujarnya.
Terdahulu, program realiti, Hijrahkan Laguku akhir akan dipecahkan kepada dua fasa. Ia mengangkat tema cerita berpaksikan Pesanku, manakala tema lagu pula, Dari Hati Ke Hati.
Menerusi fasa pertama empat finalis akan menyanyikan lagu solo, manakala fasa kedua akan berduet dengan finalis lain.
Bakal berlangsung Sabtu, jam 9 malam di TV AlHijrah, program realiti itu menampilkan Fauzi Marzuki dan Ustaz Zul Ramli
selaku juri tetap, manakala, Isman Hijjaz selaku juri jemputan menggunakan format penjurian 100 peratus juri profesional.
Program Hijrahkan Laguku dihoskan Faizal Ismail dan Bell Ngasri.