Rabu, 5 Januari 2022 | 8:30am
Info mengenai penyampai dan pengisian Molek FM akan diumumkan pada sidang media yang akan diadakan pada 7 Januari ini. - Foto Ihsan MPA
Info mengenai penyampai dan pengisian Molek FM akan diumumkan pada sidang media yang akan diadakan pada 7 Januari ini. - Foto Ihsan MPA

Molek FM sasar pendengar Pantai Timur

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (MPB) menerusi Media Prima Audio (MPA) mengumumkan pembukaan stesen radio baharu di bawah naungannya iaitu Molek FM.

Stesen baharu dengan tagline Gu Pantai Timur itu bakal memberikan hiburan dan meraikan komuniti Pantai Timur melalui gaya hidup, warisan dan tradisi setempat, selain memainkan muzik terbaik yang dikenali ramai.

"Selepas kejayaan platform radio Media Prima menjenamakan semula rangkaian radio pada Ogos lalu, kini MPA dengan rasa gembira ingin mengumumkan pembukaan stesen radio baharu, Molek FM.

"Molek FM menyasarkan pendengar berusia antara 18 hingga 39 tahun bagi sasaran lebih luas. Selain itu, fokus juga diberikan kepada sasaran pendengar berusia antara 24 hingga 34 tahun di sebelah Pantai Timur membabitkan Kelantan dan Terengganu," katanya kenyataan yang diedarkan.

Mengikut kenyataan itu, info mengenai penyampai dan pengisian Molek FM akan diumumkan pada sidang media yang akan diadakan pada 7 Januari ini.

Molek FM boleh didengari menerusi frekuensi 105.1 FM di Kota Bharu dan 93.6 FM di Kuala Terengganu.

Bagi mengetahui pelbagai info lanjut mengenai Molek FM, boleh terus mengikuti laman sosial, Molek FM di Facebook Molekfm, Instagram @molekfm dan Twitter @MolekFM dan YouTube Molek TV.

Terdahulu, MPA menyasarkan menjadi Penyiar Audio Nombor Satu di Malaysia menerusi ketiga-tiga vernakular, bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina dengan menghasilkan kandungan terbaik yang sesuai dengan pendengar.

Ia mendapat panduan daripada penyelidikan dan analisis berkala terhadap pasaran dan kumpulan sasaran yang membolehkan MPA memahami kehendak pendengar, pengiklan serta mengetahui bagaimana untuk membabitkan diri dalam memberikan informasi dan hiburan.

Oleh itu, MPA mewakili keempat-empat jenama radio iaitu Hot FM, Buletin FM, Fly FM dan 8FM.

Audio+ juga adalah sebahagian daripada syarikat mewakili inisiatif pendengaran digital, di mana aplikasi sehenti ini menyokong keempat-empat stesen radio serta audio siar (podcast) dan kandungan menarik lain.

Ends/

Berita Harian X