Isnin, 3 Januari 2022 | 6:19pm
Pelawaan Nova Music menganjurkan Konsert Nafas Cinta Khai Bahar umpama bulan jatuh ke riba dan pembukaan 2022 yang baik. - Foto Nova Music
Pelawaan Nova Music menganjurkan Konsert Nafas Cinta Khai Bahar umpama bulan jatuh ke riba dan pembukaan 2022 yang baik. - Foto Nova Music

Khai tunai janji tampil konsert solo

KUALA LUMPUR: Janji penyanyi Khai Bahar bakal tertunai apabila muncul dengan Konsert Nafas Cinta Khai Bahar yang bakal berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama pada 12 Februari depan.

Konsert sulung Khai anjuran Nova Music itu bagaikan menebus kekecewaan penyanyi lagu Bayang dan Luluh itu selepas pembatalan Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia pada Mac, tahun lalu akibat penularan pandemik COVID-19.

Penyanyi kelahiran Perlis itu berkata, dia terharu Nova Music memilihnya untuk menjayakan konsert berkenaan.

"Apabila mendapat tawaran mengadakan konsert solo tahun lalu, ia tentunya satu peluang keemasan buat saya. Namun, perancangan Allah lebih baik. Mungkin belum rezeki untuk tampil dalam konsert solo apabila terpaksa dibatalkan atas beberapa faktor tertentu.

"Selepas berbincang dengan penganjur biarpun sudah banyak persiapan dilakukan, saya tetap memandang ia dari sudut positif. Saya percaya, setiap yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya.

"Siapa sangka, saya dapat tawaran daripada Nova Music yang mahu menganjurkan konsert solo ini. Kata orang, besar tapak tangan nyiru saya tadahkan," katanya kepada BH Online.

Khai berkata, pelawaan Nova Music umpama bulan jatuh ke riba dan pembukaan 2022 yang baik.

"Selepas melakukan perbincangan, pasukan bersetuju dengan Konsert Nafas Cinta Khai Bahar ini," katanya.

Katanya, ramai peminat yang sedih apabila Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya dibatalkan.

Namun, katanya, kena terpaksa akur dengan situasi semasa akibat penularan COVID-19.

"Ramai peminat sedih dan kecewa. Saya pula tidak tahu mahu memberi reaksi bagaimana. Ini kerana saya sendiri turut kecewa. Namun, seperti yang katakan, belum rezeki.

"Namun, kehadiran Konsert Nafas Cinta Khai Bahar ini saya harap dapat mengubat kesedihan peminat. Saya bersama pasukan dan Nova Music akan cuba memberikan yang terbaik," katanya.

Akuinya, biarpun lokasi persembahan tidak dapat memuatkan jumlah yang ramai, sekurang-kurangnya impiannya beraksi dalam konsert solo berskala besar tercapai.

"Bohonglah, jika seseorang penyanyi tidak mempunyai impian besar dalam kerjaya. Begitu juga saya, mengadakan konsert solo adalah satu cita-cita belum tercapai.

"Jadi, doakan semoga segala perancangan konsert ini dipermudahkan Allah," katanya.

Konsert Nafas Cinta Khai Bahar bagaikan menebus kekecewaan selepas pembatalan konsert di Istana Budaya pada Mac, tahun lalu akibat penularan pandemik COVID-19. - Foto Nova Music
Konsert Nafas Cinta Khai Bahar bagaikan menebus kekecewaan selepas pembatalan konsert di Istana Budaya pada Mac, tahun lalu akibat penularan pandemik COVID-19. - Foto Nova Music

Sementara itu, penerbit dan penganjur konsert, Rosmin Hashim berkata, pemilihan Khai bertepatan dan antara penyanyi yang mempunyai peminat luar biasa.

"Selain itu, Khai banyak menjalin kerjasama dengan syarikat rakaman, Nova Music dan Seventeen Eleven Music.

"Khai, penyanyi muda yang mempunyai banyak lagu hits. Sebut nama Khai Bahar, pasti ramai mengenalinya.

"Khai juga mempunyai kelompok peminat daripada pelbagai peringkat umur. Dia juga penyanyi bersih daripada kontroversi," katanya.

Ditanya adakah penganjuran Konsert Nafas Cinta Khai Bahar disebabkan pembatalan konsert terdahulu, Rosmin berkata, ia berlaku secara kebetulan.

"Saya tidak pernah memikirkan pembatalan konsert lalu. Cuma, saya berasakan sudah sampai masa menganjurkan konsert berskala besar.

"Lagi pula, aktiviti persembahan pentas dan konsert kini sudah dibenarkan. Peminat juga dahagakan persembahan secara langsung. Jadi, tidak salah mengorak langkah ini.

"Perancangan mengadakan konsert ini dibuat secara kebetulan selepas berbincang dengan pasukan Khai pada Oktober lalu. Alhamdulillah, mereka terima lamaran Nova Music," " katanya.

Konsert Nafas Cinta Khai Bahar bakal diadakan secara fizikal dan virtual. Ini bagi membolehkan bukan sahaja peminat Khai dari Lembah Klang menonton konsert, malah seluruh Malaysia dan rantau Asia.

Selain Khai, konsert ini menampilkan Aina Abdul dan 'Ratu Soundtrack', Adira Suhaimi sebagai penyanyi jemputan.

Tiket tontonan konsert secara fizikal dijual dengan harga RM189.90 mula dijual sejak 31 Disember lalu dengan melayari https://onetix.com.my.

Manakala, tiket tontonan konsert secara virtual dijual dengan harga serendah RM69.90 boleh dibeli menerusi https://www.cloudtheatre.com/my.

Berita Harian X