Sabtu, 18 Disember 2021 | 8:51pm
Zaiton mempromosikan juadah air tangan sendiri yang diberi nama Rendang Nasib bagi mencari pendapatan. Foto IG Zaiton Sameon
Zaiton mempromosikan juadah air tangan sendiri yang diberi nama Rendang Nasib bagi mencari pendapatan. Foto IG Zaiton Sameon

Rumah Kak Eton dinaiki air

KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah, walaupun kawasan rumah dinaiki air paras lutut, saya dan keluarga angkat selamat."

Itu penjelasan penyanyi, Zaiton Sameon mengenai situasi terkini dirinya apabila kediaman keluarga angkat di Kapar, Klang, dilanda banjir kilat.

Penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan ini memberitahu, dia mula menyedari air naik pada jam 3 pagi tadi.

"Disebabkan hujan berterusan, air makin naik. Mujur saya tinggal bersama adik angkat dan keluarganya, jadi dapatlah kami pindahkan barang-barang.

Video dikongsi Zaiton di TikTok yang memaparkan dirinya menyanyikan lagu Kabut Serangkai Mawar menarik perhatian netizen. Foto IG Zaiton Sameon
Video dikongsi Zaiton di TikTok yang memaparkan dirinya menyanyikan lagu Kabut Serangkai Mawar menarik perhatian netizen. Foto IG Zaiton Sameon

"Bagaimanapun, kami tidak sempat selamatkan peti sejuk yang saya gunakan untuk simpan rendang dijual kerana terlalu berat," katanya ketika dihubungi BH Online.

Terdahulu, Zaiton mencuri perhatian peminat apabila memuat naik video di aplikasi TikTok memaparkan dirinya menyanyikan lagu popular, Kabut Serangkai Mawar di persekitaran rumah dinaiki air.

Zaiton atau lebih akrab disapa Kak Eton bagaimanapun bersyukur banjir yang pada mulanya membimbangkan, menunjukkan tanda surut.

"Berbanding malam tadi, keadaan petang tadi agak berbeza... Tampak agak surut. Rumah kami dua tingkat, jadi, demi keselamatan, buat masa ini kami tinggal di tingkat atas," katanya.

Biarpun industri muzik sudah rancak, namun, Zaiton, 62, belum berpeluang kembali bekerja.

"Jadi, untuk menampung kehidupan, saya jual juadah diberi nama Rendang Nasib," katanya.

Menjelaskan video TikTok yang dikongsi, Zaiton berkata, video itu dirakam sekadar hiburan semata-mata.

Berita Harian X