X
Jumaat, 17 Disember 2021 | 4:11pm
Allahyarham Datuk Jasmay menghembuskan nafas terakhir di sisi Liyana dan ahli keluarga di kediamannya di Kemensah Height, pagi ini. - Foto IG Liyana Jasmay
Allahyarham Datuk Jasmay menghembuskan nafas terakhir di sisi Liyana dan ahli keluarga di kediamannya di Kemensah Height, pagi ini. - Foto IG Liyana Jasmay

Bapa Liyana Jasmay meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bapa kepada pelakon, penyanyi dan penerbit, Liyana Jasmay iaitu Datuk Jasmay Md Shah, 68, menghembuskan nafas terakhir akibat kanser paru-paru di kediamannya di Kemensah Height, Hulu Klang, jam 11.30 pagi, hari ini.

Mengesahkannya, Liyana berkata, arwah bapanya menghidap penyakit kanser paru-paru sejak setahun lalu.

"Arwah meninggal disebabkan penyakit kanser paru-paru. Alhamdulillah, saya berada di sisi arwah ketika beliau menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika dihubungi BH Online.

Aktres yang diperkenalkan menerusi filem Castello itu memaklumkan, jenazah arwah bapanya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah, Ampang Jaya, jam 3 petang.

"Jenazah dikafankan di rumah sebelum dibawa ke Masjid Al Iman Kemensah Heights untuk disolatkan. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah, petang ini," katanya.

Liyana berkongsi, arwah bapanya menghidap penyakit kanser paru-paru sejak setahun lalu. - Foto IG Liyana Jasmay
Liyana berkongsi, arwah bapanya menghidap penyakit kanser paru-paru sejak setahun lalu. - Foto IG Liyana Jasmay

Terdahulu, penyanyi Aku Tak Percaya Cinta ini berkongsi kesedihan berikutan pemergian insan tersayangnya menerusi laman Instagram (IG).

"Semoga Babah diampunkan segala dosa, ditempatkan bersama orang beriman dan dijauhi azab kubur.

"Babah adalah bapa terbaik kepada keluarga, sanak saudara dan rakan. Babah membawa cahaya serta kegembiraan kepada orang lain. Baba juga seorang pemberi.

"Babah beri saya macam-macam dan saya bersyukur kerana membesarkan saya dengan baik. Hanya doa yang mampu mengiringi Babah sekarang.

"Adik harap dapat jumpa Babah di syurga jannah nanti. Insya-Allah," luahnya.

Sementara itu, ruangan komen pelakon berbakat besar itu dihujani dengan ucapan takziah oleh pengikut dan rakan industri antaranya Sharifah Amani, Intan Ladyana, Elisya Sandha, Shahrulezad Mohameddin, Sherry Ibrahim, Azrel Ismail dan ramai lagi.

Rata-rata mereka mendoakan semoga Liyana dan keluarga tabah menghadapi ujian kehilangan itu.

Berita Harian X