Sabtu, 11 Disember 2021 | 6:25pm
Aliff mengakui agak sukar menyeimbangi kerjaya sebagai penyanyi dan bakal guru. - Foto Ihsan Indigital Music
Aliff mengakui agak sukar menyeimbangi kerjaya sebagai penyanyi dan bakal guru. - Foto Ihsan Indigital Music

Takkan cipta kontroversi kejar populariti

KUALA LUMPUR: Bukan mudah tanggungjawab yang terbeban di bahu penyanyi dan komposer baharu, Aliff Iskandar, 21, apatah lagi, bakal bergelar guru dan masih menuntut di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

Ia bukan sekadar mengehadkan aktiviti nyanyian, malah, setiap tindakan tanduknya harus dijaga.

Disebabkan itu, Aliff berkata, dia akan berhati-hati sebelum melakukan sesuatu atau memuat naik kandungan dalam laman sosial, malah, menolak berkongsi hantaran tidak bermanfaat.

"Sebelum memuat naik sebarang hantaran, saya akan fikir dua kali. Ia demi menjaga maruah dan kualiti diri.

"Saya memang mementingkan maruah diri sebagai bakal pendidik, selain menjaga nama baik keluarga dan syarikat pengurusan, Indigital Music.

"Jadi, saya tidak akan melakukan sesuatu hanya untuk mendapat publisiti murahan. Orang kenal saya sebagai bakal guru, jadi bagi saya jawapan paling relevan kenapa saya memilih tidak berbuat perkara tidak bermanfaat.

"Bagi saya, banyak cara boleh dilakukan untuk bina karier kerjaya. Saya juga percaya pada rezeki Allah, jadi tak perlu buat gimik atau perkara negatif untuk meraih perhatian dengan cara menjengkelkan," katanya kepada BH Online.

Aliff atau nama sebenarnya, Nor Aliff Iskandar Norazmi berkata, dia tidak akan membuat kandungan hanya semata-mata mahu mengejar 'viral'.

Baginya, dia tidak akan mencipta kontroversi hanya untuk dikenali.

"Ada orang beri cadangan buat kandungan seperti kebanyakan artis lakukan di aplikasi TikTok, menari, berjoget dan sebagainya.

"Mungkin ia boleh membantu dari segi promosi dan pemasaran, namun, saya pula hanya melakukannya pada situasi yang bersesuaian.

"Contohnya, jika masuk pertandingan mungkin tarian relevan dengan persembahan, jadi saya akan buat.

"Saya bukan takut mahu menonjolkan diri, tetapi, buat masa sekarang, saya mahu berkongsi perkara baik dan berguna untuk semua orang," katanya.

Aliff berhati-hati sebelum melakukan sesuatu atau memuat naik kandungan dalam laman sosial, malah, menolak berkongsi hantaran tidak bermanfaat. - Foto Ihsan Indigital Music
Aliff berhati-hati sebelum melakukan sesuatu atau memuat naik kandungan dalam laman sosial, malah, menolak berkongsi hantaran tidak bermanfaat. - Foto Ihsan Indigital Music

Aliff akui, agak sukar menyeimbangi kerjaya sebagai penyanyi dan bakal guru.

"Sekiranya tersilap langkah, padah buruk yang dihadapi. Jadi, lebih baik saya fikirkan setiap tindak tanduk yang mahu dilakukan. Tak mengapa lambat naik, janji langkah dibuat, betul dan beri manfaat pada orang sekeliling," katanya.

Aliff ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharu berjudul Takdir, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai single ketiganya itu, Aliff merakamkan ketika keadaan kesihatannya kurang baik disebabkan baru sahaja pulih daripada jangkitan COVID-19.

Ekoran itu, katanya, dia mengambil masa agak lama berbanding kebiasaan.

"Waktu itu keadaan kesihatan belum pulih sepenuhnya, tetapi saya perlu merakamkan single Takdir. Sebenarnya, keadaan kesihatan saya baik-baik sahaja, tetapi, pernafasan agak terganggu membuatkan proses rakaman ambil masa lama.

"Namun, syukur keadaan ini tidak memberikan kesan kepada hasil rakaman. Saya gembira melunaskan tanggungjawab merakamkan single Takdir dengan lancar seperti dirancang," katanya.

Single Takdir adalah karya ciptaan Aliff, manakala lirik pula ditulis bersama dengan penerbit, Jaja Ishak.

Menariknya, single Takdir akan dijadikan lagu runut bunyi untuk drama Saat Ku Takluk Cinta Ini yang bakal ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3 bermula 20 Disember ini.

"Saya bersyukur single Takdir dipilih menjadi runut bunyi bagi drama berkenaan. Sebagai orang baharu, saya terharu ada produksi percaya kepada bakat dan hasil kerja saya.

"Ini pengalaman berharga buat penyanyi dan komposer baharu seperti saya," katanya yang juga calon finalis kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Takdir terbitan Jaja Ishak Channel dengan kerjasama Indigital Music dan Alternate Records. Single ini sudah boleh didengari di semua platform digital dan muzik video boleh ditonton menerusi YouTube Indigital Music.

Berita Harian X