Sabtu, 11 Disember 2021 | 1:00pm
Shahir bakal menghadiahkan peminat single baharu yang sedang dalam pembikinan. Foto Ihsan TV Alhijrah
Shahir bakal menghadiahkan peminat single baharu yang sedang dalam pembikinan. Foto Ihsan TV Alhijrah

Shahir kembali dengan semangat baharu

KUALA LUMPUR: Panas dengan gosip bercinta dengan aktres jelita, Erra Fazira, cerita peribadi bekas juara Akademi Fantasia (AF), Shahir Zawawi lebih diperkatakan sejak beberapa tahun lalu.

Dilihat 'tenggelam-timbul' dalam rentak seni yang semakin bergerak pantas, Shahir pernah memberi alasan sibuk berniaga selain terpalit kontroversi konon terkena 'buatan orang'.

Terbaru, penyanyi kacak ini menyertai program realiti terbitan TV Alhijrah berjudul Hijrahkan Laguku.

"Insya-Allah, pada usia 33 tahun, kalau boleh saya hendak jalan terus (pandang ke hadapan). Mudah-mudahan kali ini dipermudahkan perjalanan dan urusan. Tak mahu lagi tenggelam-timbul.

"Jika diikutkan sejak tahun lalu, saya rancang melancarkan lagu ciptaan sendiri. Boleh kata saya hendak kembali dan tumpu perhatian 100 peratus kepada bidang seni.

"Tetapi niat itu tertunda sebab situasi semasa penularan pandemik COVID-19.

Shahir mengaku masih berkawan dengan Erra. Foto Ihsan TV Alhijrah
Shahir mengaku masih berkawan dengan Erra. Foto Ihsan TV Alhijrah

"Hendak dijadikan cerita, TV Alhijrah beri peluang sertai Hijrahkan Laguku. Jadi, saya ketepikan dulu hasrat melancarkan single," katanya kepada BH Online.

Shahir yang pernah meraih trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 berkata, single yang bakal disiapkan umpama 'bayi' bagi dirinya dalam konteks penulisan lagu.

"Tahun lalu masuk studio untuk sesi rakaman. Apabila terbatas dengan penularan COVID-19, kerja rakaman tertangguh. Bulan lalu, saya kembali ke studio untuk menyambung proses itu.

"Lagu itu ditambah baik dengan gabungan beberapa penulis lirik dan diri saya sendiri," katanya.

Akui Shahir dia bukanlah individu yang boleh melakukan banyak perkara pada masa sama. Lantas, ia menjadi halangan untuknya aktif dalam dunia seni.

"Ketika hendak menumpukan perhatian kepada dunia seni, datang peluang perniagaan yang menjadikan saya berbelah bahagi. Saya realistik dalam apa juga keadaan dan perlu mencari jaminan sumber pendapatan.

"Lalu, saya kena pilih antara bidang nyanyian atau perniagaan. Ini mengganggu perjalanan seni saya. Saya fikir artis lain juga berdepan situasi sama," katanya yang menjelaskan dia mengusahakan perniagaan di Kuala Lumpur, bukannya Perak.

Tampil dengan imej berambut panjang, Shahir yang pernah membintangi filem Karak bersama Kilafairy dan Shera Aiyob, berkata dia mula menyimpan rambut panjang apabila salun ditutup.

"Apabila dibiarkan, makin panjanglah rambut. Saya fikir kenapa tidak sesekali saya tampil dengan imej berbeza. Takkan asyik rambut pendek sahaja.

"Saya akan kekal dengan imej ini sampailah emak bising. Emak tidak suka saya imej begini," katanya.

Ditanya mengenai hala tuju karier nyanyian, Shahir selesa menyanyikan lagu ketuhanan namun tidak terlalu sarat atau lebih khusus seperti nasyid.

"Kumpulan nasyid ada pengikut setia mereka. Begitu juga penyanyi genre muzik lain. Tidak timbul isu saya menyanyi genre apa. Sasaran mungkin berbeza, tetapi matlamat sama.

"Saya ada cara tersendiri. Dalam lagu, saya selit 'double meaning' (maksud tersirat) tetapi terpulang kepada terjemahan masing-masing," katanya.

Pada akhir bicara, Shahir berharap kembalinya ke dunia seni melalui program Hijrahkan Laguku lebih terarah kepada karier nyanyian.

"Isu lain termasuk dikaitkan dengan sesiapapun, ketepikan dahulu. Saya dengan dia (Erra) masih berhubung sebagai kawan.

"Masing-masing mahu meneruskan survival dengan cara tersendiri," katanya.

Berita Harian X