Isnin, 6 Disember 2021 | 1:00pm
Antara babak Aedy dilihat menepis telefon bimbit yang dipegang Amelia, kemudiannya disambut sebelah tangan seperti dalam drama Descendants of The Sun.
Antara babak Aedy dilihat menepis telefon bimbit yang dipegang Amelia, kemudiannya disambut sebelah tangan seperti dalam drama Descendants of The Sun.

Kisah Cinta Kita tiru babak drama Korea?

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, tular dalam aplikasi TikTok mengenai babak dalam drama bersiri, Kisah Cinta Kita yang dikatakan meniru adegan drama cinta fenomena Korea, Descendants of The Sun dan My Girl.

Menerusi babak berkenaan, pelakon utamanya, Aedy Ashraf yang memegang watak Amer dilihat menepis telefon bimbit yang dipegang Amelia Henderson (Aleesa), kemudiannya disambut sebelah tangan. Manakala, babak dalam kereta pula menyerupai drama My Girl.

Menerusi video TikTok dimuat naik oleh pengguna, video berkenaan menunjukkan perbandingan antara drama Descendants of The Sun dan My Girl dengan Kisah Cinta Kita dan banyak komen mempersoalkannya.

Pengarah drama Kisah Cinta Kita, Rizal Baharudin menafikan meniru drama Descendants of The Sun lakonan Song Joong Ki

dan Song Hye Kyo itu.

Menjelaskannya, Rizal berkata, dia sekadar menjadikan babak berkenaan sebagai inspirasi. Namun, jalan cerita keseluruhan drama Kisah Cinta Kita berbeza daripada Descendants of The Sun mahupun My Girl.

"Secara keseluruhan, jalan cerita drama Kisah Cinta Kita tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana K-Drama. Cuma, saya memang ada mengambil inspirasi beberapa babak daripada Descendants of The Sun dan My Girl sebagai strategi untuk mempromosikan drama.

"Semasa menjalani penggambaran babak itu, saya sudah menjangkakan ia akan menjadi tular. Penonton pasti akan mendakwa saya meniru K-Drama.

"Sebenarnya, saya hanya mengambil idea sahaja, bagaimanapun ada juga babak yang berlaku secara kebetulan.

"Tetapi mesti penonton menyangka kami meniru, sedangkan hanya ada satu babak sahaja yang dijadikan inspirasi," katanya kepada BH Online.

Pengarah drama Kisah Cinta Kita, Rizal Baharudin nafi meniru drama Descendants of The Sun mahupun My Girl. - Foto Ihsan TV3
Pengarah drama Kisah Cinta Kita, Rizal Baharudin nafi meniru drama Descendants of The Sun mahupun My Girl. - Foto Ihsan TV3

Rizal ditemui majlis sidang media drama Kisah Cinta Kita secara virtual, baru-baru ini. Drama Kisah Cinta Kita menemui penonton setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3 sejak 26 November lalu.

Biarpun drama terbitan A Aida Production itu dikatakan meniru, namun, Rizal tetap melihat komen diberikan netizen daripada sudut positif.

Katanya, komen penonton meniupkan semangatnya untuk terus berkarya.

"Bagi saya, baik atau buruk komen yang diberikan, saya terima kerana dapat lebih memajukan diri saya. Komen negatif tidak menjadi halangan untuk saya terus berkarya.

"Sebaliknya, ia memberikan suntikan semangat kepada saya. Setiap kali mengarahkan drama, saya akan cuba mencari dan merealisasikan sesebuah drama dengan sebaik mungkin.

"Ada penonton pernah bertanya kenapa saya tidak menghasilkan drama seperti K-Drama.

"Bukan tidak boleh, memang boleh, tetapi bajet terlalu tinggi. Kami terpaksa berhadapan dengan kekangan bajet.

"Banyak faktor yang membuatkan pengarah terpaksa lalui. Apabila kita ambil inspirasi dikatakan meniru, tetapi apapun saya melihat setiap komen dari sudut positif," katanya.

Secara keseluruhan, jalan cerita drama Kisah Cinta Kita tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana K-Drama, cuma, mengambil inspirasi beberapa babak daripada Descendants of The Sun dan My Girl sebagai strategi promosi drama.
Secara keseluruhan, jalan cerita drama Kisah Cinta Kita tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana K-Drama, cuma, mengambil inspirasi beberapa babak daripada Descendants of The Sun dan My Girl sebagai strategi promosi drama.

Sementara itu, Rizal berkata, menyiapkan naskhah Kisah Cinta Kita bukanlah mudah apabila terpaksa berdepan dengan penangguhan penggambaran berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, katanya, dia menjalani penggambaran pada musim pandemik, jadi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Kami memulakan penggambaran pada April, namun, penggambaran terpaksa dihentikan sebulan kemudian. Pada Oktober barulah penggambaran berjaya disiapkan, sedangkan untuk drama 28 episod hanya mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan.

"Namun, disebabkan PPN, proses penggambaran mengambil masa sehingga enam hingga tujuh bulan untuk disiapkan. Seolah-olah menyiapkan naskhah filem.

"Sepanjang penggambaran, perkara paling membimbangkan sekiranya pelakon atau kru dijangkiti COVID-19. Jadi, saya menekankan SOP yang ketat bagi mengelakkan ada antara kami yang terkena, selain bimbang penggambaran tertangguh lagi," katanya.

Drama Kisah Cinta Kita mengisahkan Aleesa yang didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali, Amer. Aleesa diminta menyamar sebagai Natasha yang menghilangkan diri kerana mempunyai wajah yang sama.

Amer berjanji akan menanggung kos pembedahan ibunya, Hanisah sekiranya Aleesa bersetuju menjadi Natasha demi kesihatan Datuk Ramzi yang masih berada di hospital.

Memandangkan hanya perlu menyamar sekejap, Aleesa bersetuju. Namun, Aleesa perlu ke hospital dan bercakap dengan Datuk Ramzi yang masih belum sedarkan diri.

Berita Harian X