Sabtu, 4 Disember 2021 | 8:30am
Siti Nordiana mendakwa judul single baharu Amaran diberi syarikat rakaman sejak setahun lalu. Foto Ihsan Siti Nordiana
Siti Nordiana mendakwa judul single baharu Amaran diberi syarikat rakaman sejak setahun lalu. Foto Ihsan Siti Nordiana

Lagu sahaja, bukan sindir sesiapa - Siti Nordiana

KUALA LUMPUR: Tiada kena-mengena dengan sesiapa pun.

Itu reaksi Siti Nordiana apabila single duet bersama Bunga Isme berjudul Amaran didakwa netizen ditujukan kepada beberapa individu yang terbabit dalam kes pertikaian dengannya.

Siti Nordiana atau mesra disapa Nana menegaskan promosi single Amaran yang dimuat naik di Instagram (IG) tidak bertujuan menyindir mana-mana individu.

"Lagu itu tiada kena mengena dengan sesiapa yang difikirkan mereka (netizen). Judul single itu sudah diputuskan sejak setahun lalu.

"Saya tidak sangka ada yang tanya begitu dan mengandaikan lagu itu menyindir pihak tertentu sebaik saya memuat naik entri pertama bagi mempromosikan Amaran di IG.

"Saya hanya ikut permintaan dan perancangan syarikat rakaman, Warner Music untuk promosi lagu itu di IG.

Siti Nordiana menafikan single Amaran ditujukan kepada beberapa individu yang terbabit dalam kes pertikaian dengannya. Foto IG Siti Nordiana
Siti Nordiana menafikan single Amaran ditujukan kepada beberapa individu yang terbabit dalam kes pertikaian dengannya. Foto IG Siti Nordiana

"Saya muat naik sahaja entri itu. Saya tidak pasti kenapa ada yang boleh berfikir begitu," katanya kepada BH Online.

Ibu kepada Mohd Rayyan Nakhaie ini bagaimanapun tidak mampu menghalang persepsi segelintir peminat terhadap lagu berkenaan.

"Saya terkejut dan rasa bercampur baur. Tetapi baguslah apa yang syarikat rakaman atur kerana ini memberi 'hype' iaitu mengalu-alukan lagu berkenaan.

"Hakikatnya, lagu ini bukan memberi amaran kepada sesiapa pun. Ia sekadar hiburan. Kalau diamati, single ini juga berkisar laungan memperkasakan wanita dan suntikan nasihat," katanya.

Mengenai pemilihan Bunga sebagai rakan duet, Siti Nordiana kagum dengan bakat penyanyi berusia 21 tahun itu.

"Saya suka tengok Bunga menyanyi rap dan nampak sangat comel. Dia sangat unik dan istimewa," katanya.

Lagu Amaran berentak EDM Nusantara dan Trap ciptaan bersama Bunga, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat. Amaran boleh distrim di platform digital terpilih sejak 26 November lalu.

Berita Harian X