Khamis, 2 Disember 2021 | 6:00pm
Yonnyboii menghasilkan lima karya baharu bermula detik dan fasa percintaan bersama isteri. - Foto IG Nik Nazira
Yonnyboii menghasilkan lima karya baharu bermula detik dan fasa percintaan bersama isteri. - Foto IG Nik Nazira

Album istimewa lambang cinta

KUALA LUMPUR: Sebagai lambang cinta, komposer yang juga penyanyi rap, Yonnyboii menghadiahkan album istimewa buat insan bernama isteri yang bertakhta di hatinya.

Yonnyboii, 23, berkata, album istimewa itu adalah hadiah perkahwinan buat isterinya, Nik Nazira Narriman, 22.

"Album istimewa ini memuatkan lima lagu dan dijangka akan dilancarkan pada majlis resepsi pada 22 Januari depan. Lima lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah karya baharu yang saya cipta khas buat isteri.

"Lagu ini dihasilkan ketika mula 'mengorat' isteri sehingga fasa percintaan. Kami mula rapat pada pertengahan tahun ini.

"Namun, saya masih menunggu keputusan syarikat rakaman. Sekiranya impian ini tidak kesampaian kemungkinan ia ditangguhkan pada majlis resepsi pihak saya yang dirancang pada 22 Februari depan," katanya kepada BH Online.

Berkongsi mengenai majlis resepsi, Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, majlis di sebelah pihak perempuan akan berlangsung mengikut tarikh asal.

Yonnyboii dan Nik Nazira tidak berniat merahsiakan majlis pernikahan, sebaliknya, memenuhi permintaan keluarga, selain diadakan secara kecil-kecilan bagi mematuhi SOP. - Foto IG Nik Nazira
Yonnyboii dan Nik Nazira tidak berniat merahsiakan majlis pernikahan, sebaliknya, memenuhi permintaan keluarga, selain diadakan secara kecil-kecilan bagi mematuhi SOP. - Foto IG Nik Nazira

Katanya, majlis yang dijangka berlangsung di Duchess Place, Ampang itu hanya dihadiri kira-kira 100 tetamu sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada 22 Januari depan, manakala majlis sebelah lelaki pula berlangsung di Cheras pada 22 Februari depan.

"Majlis persandingan sebelah saya akan diadakan selang sebulan majlis resespi sebelah isteri. Saya akan mengundang 500 tetamu, tetapi tidak semua saudara mara dan rakan taulan dapat hadir," katanya.

Terdahulu, penyanyi lagu Sakit itu mengejutkan peminat apabila mengumumkan perkahwinannya dengan Nik Nazira pada 20 November lalu.

Pengumuman dilakukan selepas lima selepas diijabkabulkan dan media sosial.

Mulanya, Yonnyboii dan Nik Nazira yang mengikat tali pertunangan pada 9 Oktober lalu merancang mengadakan majlis akad nikah pada 22 Januari depan.

Namun, atas permintaan keluarga, pasangan yang berkenalan menerusi permainan video dalam talian itu menyegerakan majlis pernikahan yang dirancang tiga hari sebelum majlis.

Yonnyboii berkata, dia dan isteri tidak berniat merahsiakan majlis pernikahan, tetapi terpaksa berbuat demikian demi memenuhi permintaan keluarga, selain diadakan secara kecil-kecilan bagi mematuhi SOP.

"Hanya 20 tetamu dibenarkan hadir pada majlis akad nikah. Kami juga terpaksa menjaga hati keluarga yang tidak dapat diundang, jadi lebih baik dirahsiakan dahulu.

"Bagaimanapun, ibu meminta saya mengumumkan berita perkahwinan bagi mengelakkan fitnah," katanya yang merancang untuk berbulan madu ke Eropah.

Berita Harian X