Khamis, 2 Disember 2021 | 3:08pm
Fazley sudah lali menerima kecaman daripada zaman majalah, akhbar dan kini, laman sosial.
Fazley sudah lali menerima kecaman daripada zaman majalah, akhbar dan kini, laman sosial.

'Saya sudah lali dengan kecaman' - Fazley

KUALA LUMPUR: Seringkali perkongsian penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 43, dalam laman sosial dipertikaikan, malah, jadi kecaman warga netizen.

Pelbagai tuduhan dilemparkan termasuk sengaja memuat naik hantaran yang boleh menimbulkan perdebatan. Terbaharu, Fazley dikecam apabila memuat naik video sedang bersolat, manakala, dua cahaya matanya sedang berbaring, sambil bergurau di hadapannya.

Namun, Fazley berkata, dia bukan usahawan kosmetik, jadi tidak memerlukan kandungan 'mengarut' semata-mata untuk meraih perhatian. Sebaliknya, katanya, dia mempunyai alasan tersendiri dalam setiap hantaran yang dikongsikan.

"Saya bukan usahawan kosmetik, jadi, tiada apa yang perlu dipasarkan. Apa yang dimuatkan adalah kehidupan peribadi saya.

"Jika nak bercakap soal hati-hati, saya seorang yang berfikir 10 langkah ke hadapan sebelum melakukan sesuatu.

"Apa yang dikongsikan bukan satu kesilapan, tetapi saya memang sengaja. Fokus saya bukan soal solat, sebaliknya anak-anak," katanya kepada BH Online.

Fazley berkata, hubungannya dengan empat cahaya mata sangat rapat, malah, tidur, makan minum, solat dan banyak perkara dilakukan bersama.

"Selepas memuat naik video, saya terima lebih 200 komen. Ada yang setuju, tidak kurang juga menghentam.

"Bagi saya, senang sahaja, laman sosial umpama pintu rumah. Jika tidak suka, tak perlu tengok. Lagipun, saya sudah 21 tahun dalam bidang seni.

"Sepanjang tempoh ini, saya sudah menerima pelbagai kecaman bermula dari majalah, akhbar dan kini, laman sosial. Jadi, saya sudah lali dengan kecaman," katanya.

Sementara itu, juara program realiti masakan Master Chef Selebriti Malaysia 2012 itu kurang bersetuju apabila ada pihak kurang senang melihat keaktifannya dalam laman sosial.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, laman sosial menjadi medium untuk memastikan seorang selebriti mahupun artis terus kekal relevan dalam industri seni.

Fazley tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan Laguku Untukmu pada minggu kedua.
Fazley tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan Laguku Untukmu pada minggu kedua.

Katanya, dia antara selebriti terawal memanfaatkan platform Twitter, biarpun ramai menganggap platform itu tidak penting.

"Ketika mula aktif dalam Twitter, ada sahaja pertikaikan mengatakan platform ini tidak penting.

"Namun, sekarang ramai yang menggunakannya, malah, ada yang baru bermula, sedangkan saya sudah memiliki lebih setengah juta pengikut.

"Apabila mewujudkan akaun TikTok, sekali lagi saya jadi bahan kecaman. Mereka anggap usia saya tidak sesuai untuk berjoget-joget.

"Nyata, percaturan saya memiliki akaun TikTok tepat kerana kebanyakan produk jenama antarabangsa yang mahu bekerjasama dengan saya seperti Krispy Kreme dan Starbucks melihat kepada jumlah pengikut dalam akaun ini," katanya.

Menyentuh kerjaya nyanyian, Fazley yang kini bergelar peserta program Gegar Vaganza (GV) musim kelapan tidak menafikan ramai terkejut dengan kemunculannya.

Bagi Fazley, status 'Datuk' bukan satu kesalahan untuk menyertai program realiti itu.

"Ramai bertanya kenapa saya menyertai program GV8? Kenapa saya membenarkan diri untuk dikritik kerana status saya sebagai 'Datuk'.

"Saya sertai GV8 demi anak bongsu. Selama ini, orang luar sangka saya hanya boleh menyanyikan lagu Asmara Ini. Tetapi, mereka tidak tahu saya banyak menyanyikan lagu genre lain dalam persembahan korporat.

"Jadi, inilah peluang untuk dikongsikan dengan penonton. Saya tidak kisah jika ada mengutuk dan mengkritik.

"Saya menyertai GV8 menyatukan peminat dalam bidang masakan dan muzik," katanya.

Terdahulu, Fazley dikritik teruk gara-gara mendapat markah terendah dalam persembahan minggu pertama dan kedua menerusi program GV8.

Netizen menyifatkan suara Fazley sumbang, bergetar dan tahap menyanyi karaoke.

Berita Harian X