Selasa, 30 November 2021 | 6:05pm
Bunga tidak sangka Nana mempercayai dan memilihnya sebagai rakan duet menerusi kolaborasi single Amaran.
Bunga tidak sangka Nana mempercayai dan memilihnya sebagai rakan duet menerusi kolaborasi single Amaran.

Nana, Bunga pejuang hak wanita

KUALA LUMPUR: Selepas Ratu Pop Etnik, Noraniza Idris, penyanyi rap, Bunga Isme, 21, dipilih pula Siti Nordiana berkolaborasi menerusi single duet, Amaran.

Mengakui teruja dapat berkolaborasi dengan apabila penyanyi berpengalaman, Bunga tidak pernah menyangka Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana menghargai bakatnya sebagai penyanyi baharu.

"Ruang dan peluang ini bagaikan bulan jatuh ke riba. Sejujurnya, saya amat terkejut apabila Kak Nana menyedari bakat hingga membuatkannya terbuka melamar saya berkolaborasi dengannya.

"Kak Nana adalah penyanyi pertama yang mengajak saya berkolaborasi. Selalunya saya yang mengajak penyanyi lain menjalinkan kerjasama.

"Namun, Kak Nana mahukan perubahan pada genre muzik single duet, Amaran. Seperti diketahui, Kak Nana banyak menghasilkan single bergenre balada, sebelum ini.

"Kami baru sahaja selesai menjayakan penggambaran video muzik Amaran. Jujurnya, saya bangga dapat berkolaborasi dengan penyanyi kesayangan ramai dalam projek istimewa ini," katanya kepada BH Online.

Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini berkata, single duet itu berkisarkan pemerkasaan wanita.

"Disebabkan tema mengangkat wanita, jadi saya teruja mahu menyertainya. Single bergenre hip hop, trap dan electronic dance music (EDM) ini sudah dilancarkan di platform penstriman digital terpilih sejak 26 November lalu.

Bunga turut meluahkan perasaan gembira apabila single duet bersama Noraniza, Intan Payung kini masih menduduki carta Top 20, Muzik-Muzik Ke-36.

Bunga gusar jika single duet Intan Payung bersama Kak Ani membolosi pentas berprestij, AJL36 berikutan sedang menghadapi peperiksaan akhir.
Bunga gusar jika single duet Intan Payung bersama Kak Ani membolosi pentas berprestij, AJL36 berikutan sedang menghadapi peperiksaan akhir.

Namun, dalam masa sama, Bunga berkata, dia gusar jika single duet Intan Payung bersama Noraniza Idris atau Kak Ani berjaya membolosi pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36.

"Jika tanya tentunya semua penyanyi dan komposer di Malaysia bercita-cita mahu berada di pentas AJL. Keinginan saya juga sama seperti penyanyi lain, tetapi adakah saya layak dan berkemampuan berada atas pentas besar dan berprestij itu.

"Kalau single duet Intan Payung berjaya, saya kena membuat persediaan 101 peratus.

"Sudah tentu saya harus memberikan yang terbaik dan itulah menjadi kerisauan. Lebih membimbangkan, AJL36 dijangka berlangsung pada Januari tahun hadapan, saya pula sedang menjalani peperiksaan akhir.

"Jadi, saya runsing memikirkannya bagaimana mahu memberikan persembahan terbaik," katanya.

Namun, jauh di sudut hati, katanya, dia tetap bersyukur dan masih terkejut single duet Intan Payung masih berada dalam carta.

"Ketika single duet ini dihasilkan, saya tidak yakin sebab bimbang pendengar tidak boleh terima suara saya.

"Namun, tekaan saya meleset apabila single duet ini diperdengarkan. Peminat merasakan karya ini lain daripada lain sebab berunsur etnik.

"Istimewanya, menampilkan Kak Ani yang baru selesai dengan program Gegar Vaganza musim ketujuh. Ini adalah rezeki yang tidak pernah dijangka.

"Alhamdulillah, saya percaya karya bertahan dalam carta Muzik-Muzik 36 disebabkan Kak Ani," katanya.

Dalam perkembangan lain, Bunga kini sedang menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan sejak Ogos lalu.

Bunga mula mencipta nama selepas tular mengenakan baju kurung dan berhijab sambil melontarkan bait-bait rap ketika muncul dalam program anjuran Joe Flizzow, 16 Baris pada 2019.

Terdahulu, Bunga pernah tampil menerusi single Bunga, Apedehal dan 300 Saat berduet bersama Amzar Sabri. 

Berita Harian X