Sabtu, 27 November 2021 | 8:30am
Shuib menyifatkan detik melafazkan dialog memujuk Siti Sarah sebelum ditidurkan sebagai saat paling sukar dalam hidup. Foto Ihsan Indigital Music
Shuib menyifatkan detik melafazkan dialog memujuk Siti Sarah sebelum ditidurkan sebagai saat paling sukar dalam hidup. Foto Ihsan Indigital Music

'Jangan nangis... Daddy jangan sedih'

KUALA LUMPUR: 'Jangan nangis... Daddy jangan sedih. Ampunkan dosa-dosa I, ya Daddy?'

Rakaman perbualan terakhir Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggalkan pesan kepada suami, Shuib Sepahtu agar usah bersedih sebelum ditidurkan bagi membolehkan anak dalam kandungan dilahirkan saat bertarung melawan jangkitan COVID-19, tular, sejak semalam.

Dialog itu diselitkan dalam single rakaman 'live' berjudul Tinggalkan Diriku dendangan arwah, yang pantas mengusik emosi peminat sebaik dilancarkan, semalam.

Antara lain, single itu menyelitkan petikan dialog yang memperdengarkan Shuib memujuk isterinya sebelum ditidurkan serta meluahkan betapa dirinya cukup menyintai Siti Sarah.

Video muzik single Tinggalkan Diriku berkonsep animasi dilancarkan Indigital Music di saluran YouTube Shuib Channel sejak petang semalam. Foto Ihsan Indigital Music
Video muzik single Tinggalkan Diriku berkonsep animasi dilancarkan Indigital Music di saluran YouTube Shuib Channel sejak petang semalam. Foto Ihsan Indigital Music

Single rakaman semula itu boleh dimuat turun di semua platform digital, sejak semalam.

Video muzik yang memaparkan Shuib dan arwah isterinya dalam karakter animasi, mula ditayangkan di saluran YouTube Shuib Channel pada jam 3 petang, semalam.

Single Tinggalkan Diriku dicipta Aidit Alfian dan pernah dirakamkan Siti Sarah pada 2002 sebelum dilancarkan setahun kemudian melalui album Mimpi Pun Sama.

Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, 37, mengaku dialog dilafazkan menjadi detik paling sukar dalam hidupnya sebagai suami dan bapa kepada empat cahaya mata.

"Saya sengaja menyelitkan perbualan akhir bersama arwah isteri di mana saya memujuk serta memberi arwah kata-kata semangat agar ditidurkan.

"Perkongsian perbualan terakhir itu semata-mata untuk menunjukkan betapa besar pengorbanan seorang ibu yang sanggup bertarung nyawa demi melahirkan anak kami, walaupun ia adalah momen yang paling sukar sekali dalam hidup saya," katanya.

Shuib berkata, video muzik itu dihasilkan sebagai lambang cintanya buat isteri yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 pada 9 Ogos lalu.

Bercerita mengenai keputusan melancarkan single versi rakaman langsung itu, Shuib berkata, selepas enam hari isterinya meninggal dunia, dia mendengar semula rakaman lagu Tinggalkan Diriku yang dihasilkan ketika sesi latihan untuk Showcase Siti Sarah pada 2018.

"Perasaan sebak, hiba dan segala rasa hadir tatkala mendengar kembali lagu itu. Cara penyampaian Siti Sarah juga berbeza dan istimewa sekali... Seakan-akan sudah tahu apa yang bakal terjadi kepadanya.

"Bait liriknya cukup indah hingga dapat dirasai sampai sekarang. Lagu itu pula dirakam arwah isteri bersama dua rakannya iaitu arwah Lok U dan arwah Aji di mana kedua-duanya juga sudah pergi menghadap Ilahi.

"Jadi, kami memutuskan untuk menghasilkan video muzik berikutan ketiga-tiga mereka sudah tiada," katanya.

Arwah Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tiga hari selepas melahirkan anak bongsunya yang diberi nama, Ayash Affan.

Selain Ayash yang kini berusia tiga bulan, Siti Sarah meninggalkan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Berita Harian X