Selasa, 23 November 2021 | 8:30am
Aliff bersyukur teman jemaah tabligh memberi kata-kata positif selepas mendapat tahu penyertaannya dalam GV8. Foto IG Aliff Aziz
Aliff bersyukur teman jemaah tabligh memberi kata-kata positif selepas mendapat tahu penyertaannya dalam GV8. Foto IG Aliff Aziz

Saya fokus diri sendiri - Aliff Aziz

KUALA LUMPUR: Meraih markah tertinggi pada konsert mingguan pertama musim kelapan program realiti, Gegar Vaganza (GV8), malam kelmarin, ada suara-suara mula mempertikaikan penyertaan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 30, dalam pertandingan itu.

Semuanya kerana sejak beberapa bulan lalu, dilaporkan Aliff yang selama ini sering terkait dengan kontroversi dan aksi nakal, mula berubah dan mendalami ilmu agama dengan menyertai kumpulan tabligh.

Mendapatkan reaksi Aliff, dia menjelaskan niat menyertai program itu bukanlah mahu mendekatkan diri dengan perkara melalaikan, sebaliknya, mencari rezeki untuk keluarga.

"Bukan hendak kata saya pandai atau apa, tapi apabila soal kerja, saya selalu doa supaya Allah dekatkan perkara yang baik dan jauhkan benda tidak baik.

"Pada masa sama, ini adalah satu pekerjaan dan niat saya adalah untuk mencari nafkah.

"Jadi apa yang saya buat ini adalah untuk mencari rezeki untuk keluarga saya. Selagi kita boleh kawal, insya-Allah kita boleh nampak apa yang sesuai dan tidak kena.

Aliff mendapat sokongan isterinya, Bella Astillah dalam setiap perkara dilakukan. Foto IG Aliff Aziz
Aliff mendapat sokongan isterinya, Bella Astillah dalam setiap perkara dilakukan. Foto IG Aliff Aziz

"Apapun, saya harap semua pihak boleh doakan yang terbaik buat saya dan semua peserta GV8 ini... Insya-Allah," katanya kepada BH Online.

Aliff menyertai GV8 bersama 12 peserta lain antaranya Adibah Noor, Aweera, Azan (Scan), Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk, Suki, Nikki dan Ani Mayuni.

Berkongsi lanjut mengenai pembabitannya dalam GV8, Aliff berkata, dia mula didatangi tawaran menyertai program realiti itu sejak dua tahun lalu.

"Ketika itu, saya mungkin sedang melalui fasa kehidupan yang agak kurang baik, kekangan masa dan sebagainya.

"Alhamdulillah, tahun ini, penganjur dengan baik hatinya tawar lagi peluang dan saya fikir kali ini saya bersedia.

"Saya pun ada di Malaysia. Jadi, saya anggap ini sebagai suatu peluang untuk kembali ke pentas dan timba pengalaman," katanya.

Aliff berkata, GV adalah satu platform yang sangat besar.

"Semua orang sedia maklum mengenainya. Kita yang sudah lama berehat, diberi peluang untuk kembali beraksi di atas pentas dan membuat persembahan menghiburkan penonton.

"Pada masa sama kita dapat lepaskan gian membuat persembahan," katanya.

Biarpun GV8 pentas pertandingan, Aliff menyifatkan penyertaannya lebih kepada menimba pengalaman dan lebih fokus kepada membaiki persembahannya dari masa ke semasa, berbanding memikirkan soal persaingan dengan penyanyi 'senior' lain.

"Pada penghujungnya, kita semua adalah rakan seperjuangan. Tiada niat untuk mengalahkan sesiapa. Apa yang paling penting, kita semua bergembira dan orang tengok pun seronok dengan persembahan kita," katanya.

Bertanya mengenai pendapat rakan jemaah tabligh selepas memutuskan menyertai GV8, Aliff berkata, dia bersyukur menerima kata-kata positif.

"Alhamdulillah, saya ada kongsi bersama rakan rapat. Mereka beri kata-kata perangsang dan nasihat.

"Mereka turut berpesan agar saya jaga diri dan sebagainya. Saya sangat hargai doa mereka kepada saya... Doa ini adalah senjata orang mukmin," katanya.

Sementara itu, Aliff turut mengaku sifat positif dalam diri turut dibantu sokongan keluarga serta rakan-rakan yang baik di sekelilingnya.

Justeru, dia memohon agar semua mendoakan dirinya kekal istiqamah dalam melakukan kebaikan.

"Saya mohon doakan saya terus istiqamah. Perkara ini adalah paling mahal dan susah untuk diperoleh oleh seseorang.

"Tetapi, insya-Allah pengorbanan mendekati agama dan Allah akan membantu saya.

"Jadi, kita belajar-belajarlah. Saya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan belajar lagi. Cuma, sekarang saya belajar menjaga lingkungan iaitu kawan-kawan sekeliling," katanya.

Tambah Aliff, dia lebih memberi tumpuan memperbaiki dirinya sendiri, sentiasa bersama keluarga serta mendekati rakan yang mendorong ke arah kebaikan.

"Sekarang, saya lebih fokus pada diri sendiri. Saya tak tengok dunia luar bagaimana. Sebab apabila kita tengok seseorang tidak baik di depan mata kita, kita tak tahu bagaimana Allah berikan dia hidayah sebelum dia meninggal dunia.

"Kita yang keluar tabligh ini, nampak macam baik, tak tahu lagi macam mana. Jadi, apabila kita fikir begitu, kita takkan rasa diri kita lebih baik daripada orang lain.

"Kita boleh tengok diri kita banyak kekurangan. Seperti saya sebelum ini, banyak leka. Tetapi saya perbaiki diri dan saya fokus dengan perkara itu," katanya.

Mendendangkan lagu Sayang Sayang, Aliff memperoleh markah 74.6 peratus menewaskan calon 'favourite' Adibah Noor yang mendapat 73 peratus pada konsert minggu pertama GV8.

Aliff berkahwin dengan Bella Astillah dan memperoleh dua cahaya mata iaitu Muhammad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Berita Harian X