Isnin, 22 November 2021 | 1:00pm
Trofi Anugerah 100 CEO Muda Terbaik 2021 menambahkan semangat Mawi untuk terus berkarya bukan sahaja dalam bidang seni, malah memperjuangkan tulisan Jawi. - Foto Ihsan Mawi
Trofi Anugerah 100 CEO Muda Terbaik 2021 menambahkan semangat Mawi untuk terus berkarya bukan sahaja dalam bidang seni, malah memperjuangkan tulisan Jawi. - Foto Ihsan Mawi

Perjuangan Mawi angkat tulisan jawi diiktiraf

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Mawi, 38, tidak menyangka minat mengarahkan drama dan filem serta keikhlasan memperjuangkan tulisan Jawi melayakkan dirinya menerima Anugerah 100 CEO Muda Terbaik 2021 anjuran Ikon Malaysia.

Juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga itu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan bakal menerima trofi bagi kategori Industri Muzik & Hiburan pada majlis yang berlangsung, minggu lalu.

Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani berkata, trofi itu menambahkan semangat untuk terus berkarya bukan sahaja dalam bidang seni, malah mahu terus memperjuangkan tulisan Jawi.

"Saya tidak pernah menyangka mendapat pengiktirafan dalam acara anugerah yang langsung tidak berkaitan dengan industri seni. Ketika dimaklumkan mengenai pemilihan ini, saya terkejut kerana ia bukan acara hiburan.

"Saya tertanya-tanya apa yang melayakkan saya untuk menerima trofi ini. Tetapi, saya dimaklumkan pemilihan saya dibuat atas usaha yang dilakukan dalam bidang seni seperti pengarahan, penerbitan dan perjuangan saya terhadap tulisan Jawi menerusi stesen radio Zayan dan termasuklah, penubuhan Mawi World Entertainment.

"Pengiktirafan diberikan membuatkan saya rasa lebih bersemangat menghasilkan filem, drama dan program televisyen yang boleh memberikan manfaat kepada penonton. Tambah bermakna pengiktirafan ini bukan datang daripada acara hiburan,"

katanya kepada BH Online.

Penyandang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak tiga kali dari 2005 hingga 2007 itu berkata, dia tidak menyangka usaha memperkenalkan tulisan Jawi menerusi segmen Mawi Jawi turut mendapat perhatian pihak penganjur.

"Mereka nampak usaha saya mengangkat tulis Jawi. Stesen radio Zayan membawa konsep gaya hidup muslim kontemporari yang mudah untuk pendengar muda.

"Selain itu, kami berkongsi pelbagai maklumat positif yang memberi inspirasi kepada pendengar," kata artis yang pernah mencetuskan gelombang Tsumawi itu.

Mawi bersama isterinya, Ekin yang menjadi pendorong kejayaannya. - Foto Ihsan Mawi
Mawi bersama isterinya, Ekin yang menjadi pendorong kejayaannya. - Foto Ihsan Mawi

Mengulas usaha memperjuangkan tulisan Jawi serta drama, filem dan program berunsurkan kerohanian, Mawi yang mula menunjukkan bakat sebagai pengarah filem, dua tahun lalu berkata, cetusan idea terjadi dengan sendirinya.

"Mungkin juga ia sudah sebati dalam diri apabila mahu karya menjurus ke arah Islamik setiap kali menghasilkan skrip.

"Barangkali, ini kerana sudah dipraktikkan dari kecil dengan didikan arwah ibu bapa yang mementingkan agama. Ia juga

banyak mempengaruhi saya setiap kali berkarya.

"Ia sudah seperti gaya hidup, sehinggakan saya merasakan seperti ada yang tidak kena jika tidak menyelitkan unsur pengajaran atau kerohanian dalam naskhah saya," katanya yang bakal muncul dengan filem kedua Hantu Kuat Ketawa dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mawi bakal muncul dengan filem kedua arahannya berjudul Hantu Kuat Ketawa dalam masa terdekat.

Filem bergenre seram dan suspen yang bakal menemui penonton menerusi saluran Astro First itu menampilkan Saiful Apek, Syanie Hisham, Zarina Anjoulie, Anas Tahir dan ramai lagi.

Ia adalah hasil sentuhan Mawi sepenuhnya termasuk skrip dan cerita asal selain pengarahan.

Terdahulu, seramai 56 individu dari pelbagai latar belakang dan industri menerima pengiktirafan dalam Anugerah 100 CEO Muda Terbaik 2021.

Selain Mawi, antara penerima trofi kategori 'The Most Outstanding CEO' ialah pengarah filem Skop Productions, Syamsul Yusof; pemilik syarikat SukeTV, Datuk AC Mizal dan pengusaha Herbatera Sdn Bhd yang juga pengacara, Iesya Toh.

Berita Harian X