Ahad, 21 November 2021 | 11:00am
Warga netizen kagum dengan keampuhan vokal Ramlah yang masih mengekalkan key asal ketika membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH 34. - Foto IG Ramlah Ram
Warga netizen kagum dengan keampuhan vokal Ramlah yang masih mengekalkan key asal ketika membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH 34. - Foto IG Ramlah Ram

Ramlah tular selepas buat persembahan ABPBH 34

KUALA LUMPUR: Gara-gara mempamerkan persembahan bertenaga pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Popular BH (ABPBH) Ke-34, minggu lalu, penyanyi berpengalaman, Ramlah Ram tular apabila video persembahan lamanya dimuat naik semula netizen dalam media sosial.

Lebih mengagumkan apabila tindakan itu dibuat kerana mereka begitu kagum apabila bekas juara Bintang RTM 1985 itu masih mampu mengekalkan 'key' asalnya walaupun sudah 36 tahun berada dalam industri muzik.

Mengulas perkara itu, Ramlah mengakui, terkejut campur terharu apabila warga netizen sudi memberi perhatian terhadap persembahannya itu.

"Sejujurnya, saya memang tidak menyangka persembahan saya pada malam kemuncak ABPBH 34 berjaya menarik perhatian netizen hingga mereka bertindak memuat naik semula video lama, sambil memuji nada nyanyian saya yang masih mampu mengekalkan key asal.

"Setakat ini, saya selesa menyanyi dengan key asal. Pernah juga ada pihak yang menyarankan saya untuk merendahkan key, tetapi saya menolak kerana tidak selesa.

"Jika keadaan kesihatan mengizinkan, saya akan kekalkan nyanyian sebegitu demi kepuasan diri, bukannya kerana mahu menunjuk-nunjuk kehebatan diri.

"Alhamdulillah, lebih 30 tahun menyanyi belum pernah saya merendahkan nada nyanyian saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada BH dan ABPBH kerana memberi saya peluang ini hingga saya menjadi tular," katanya kepada BH Online.

Ramlah tular apabila video persembahan lama menerusi lagu Siapa Yang Bersalah dimuat naik semula netizen dalam media sosial. - Foto IG Ramlah Ram
Ramlah tular apabila video persembahan lama menerusi lagu Siapa Yang Bersalah dimuat naik semula netizen dalam media sosial. - Foto IG Ramlah Ram

Berkongsi petua berjaya mengekalkan keampuhan vokalnya itu, penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu memaklumkan dirinya begitu menjaga dari segi pemakanan.

"Sejak dahulu lagi, saya memang mengelak dari mengambil minuman berais dan bergas," jawabnya ringkas.

Menerusi persembahan dipamerkan pada malam kemuncak ABPBH 34, penyanyi yang berasal dari Kesang, Muar itu menyampaikan untaian lagu popularnya secara medley iaitu Siapa Yang Bersalah, Di Pintu Ambang Kasih dan Selamat Jalan Romeo.

Memandangkan kini menjadi bahan bualan ramai dan berjaya menarik perhatian peminat generasi baharu selepas tular, Ramlah ditanya apakah tidak berminat untuk mengambil kesempatan itu dengan mengadakan sebuah konsert.

Mengakui mempunyai keinginan yang sama, Ramlah mengharapkan impiannya itu bakal menjadi kenyataan suatu hari nanti.

"Saya teringin nak tampil dalam konsert khas untuk peminat setia walaupun terpaksa mengeluarkan kos sendiri.

"Saya tidak tahu bila akan bersara ataupun pejam mata. Justeru, konsert ini nanti bakal menjadi momen terindah untuk peminat," ungkapnya.

Berita Harian X