Ahad, 26 September 2021 | 12:34pm
Ezlynn mendakwa dia dan suami tidak menyembunyikan pernikahan mereka pada 11 September lalu. Foto Ihsan Ezlynn
Ezlynn mendakwa dia dan suami tidak menyembunyikan pernikahan mereka pada 11 September lalu. Foto Ihsan Ezlynn

Kami tak sembunyikan pernikahan - Ezlynn

KUALA LUMPUR: Selepas lebih empat tahun hidup solo, Ezlynn mendedahkan dirinya bernikah dengan jejaka pilihan hati, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, pada 11 September lalu.

Ezlynn, 39, atau nama penuhnya, Azline Ariffin melangsungkan pernikahan dengan Wan Mohd Hafizam yang juga penderma hati pertama negara, secara virtual.

"Alhamdulillah, majlis nikah kami sangat ringkas seiring norma baharu era pandemik COVID-19. Tiada majlis keraian dianjurkan.

"Jadi, kami tiada foto perkahwinan. Hendak bergambar sekali pun jauh... Saya dan suami berada di Perlis manakala keluarga di Kuala Lumpur.

Ezlynn mengaku berkenalan dengan suami pada acara anjuran NGO dan terpikat dengan keperibadiannya. Foto Ihsan Ezlynn
Ezlynn mengaku berkenalan dengan suami pada acara anjuran NGO dan terpikat dengan keperibadiannya. Foto Ihsan Ezlynn

"Cukup semuanya dipermudahkan. Sudah termaktub ikatan rasmi hubungan kami dan semoga berpanjangan sampai Jannah," katanya kepada BH Online.

Ezlynn yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye mengenali suaminya ketika terbabit dengan kerja amal untuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Perkenalan kami berputik begitu sahaja. Tiada isyarat tertentu. Saya tertarik kepada ketulusan hatinya. Dia sangat menjaga solat, tidak lokek membantu orang dan amanah dalam bekerja," katanya.

Ditanya mengenai status suami, Ezlynn bagaimanapun enggan mengulas.

"Saya tidak mahu ulas status suami. Apa yang lebih utama, kami tidak sembunyikan perkahwinan ini," katanya.

Sebelum ini, Ezlynn pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas pengurus peribadinya, Adam Fahmy Shamsudin pada 20 November 2011.

Mereka bagaimanapun bercerai pada Oktober 2017 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Wan Mohd Hafizam pula dikatakan memiliki tiga anak.

Berita Harian X