Selasa, 14 September 2021 | 6:38pm
Eina sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19. - Foto IG Eina Azman
Eina sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19. - Foto IG Eina Azman

Gusar bekerja selepas sembuh COVID-19

KUALA LUMPUR: Perasaan gusar menghantui pelakon Datin Paduka Eina Azman, 26, apabila kembali menjalani penggambaran drama selepas baru sahaja sembuh daripada jangkitan COVID-19.

Sungguhpun dilanda kebimbangan, Eina yang disahkan positif COVID-19 pada 31 Ogos lalu enggan menyusahkan syarikat produksi jika menangguhkan penggambaran drama The Hotel arahan Helmi Yusof.

"Secara jujur, saya amat bimbang, apatah lagi, suami baru keluar hospital beberapa hari lalu. Saya dan keluarga baru sembuh daripada jangkitan.

"Jadi, saya masih trauma dan ketakutan. Namun, saya perlu memberanikan diri disebabkan tanggungjawab diterima.

"Saya tidak mampu membiarkan produksi menunggu saya. Jadi, mahu atau tidak saya perlu kembali memulakan kerja penggambaran yang dipersetujui," katanya kepada BH Online.

Eina dan suaminya, Kaiser Gurmeet baru sahaja sembuh daripada jangkitan COVID-19. - Foto IG Eina Azman
Eina dan suaminya, Kaiser Gurmeet baru sahaja sembuh daripada jangkitan COVID-19. - Foto IG Eina Azman

Ekoran itu, tegas Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman, dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya kerap cuci tangan, memakai cecair pembasmi kuman, memakai pelitup muka dan mematuhi SOP lain. Malah, saya mencuba menjarakkan diri dengan orang lain di lokasi penggambaran.

"Disebabkan saya baru sembuh daripada jangkitan, saya perlu menjaga SOP. Mujur, penggambaran dijalankan di lokasi hotel sahaja.

"Jika berada tempat terdedah dan lokasi lain boleh menimbulkan ketakutan buat saya. Alhamdulillah, semua pelakon dan kru sudah mempunyai dua dos vaksin yang lengkap.

"Saya juga seronok dapat kembali bekerja selepas berbulan-bulan berkurung di rumah," katanya.

Eina ditemui menerusi sidang media The Hotel secara virtual, baru-baru ini. Ia turut dibintangi Mira Filzah, MK K-Clique dan Sean Lee.

Berkongsi mengenai suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah yang disahkan positif COVID-19 tahap empat, Eina berkata, dia bersyukur suaminya sudah pulang ke rumah dan kini, beransur pulih.

"Terima kasih kepada keluarga, rakan dan pengikut dalam media sosial yang memberikan sokongan.

"Tidak lupa kepada mereka yang mendoakan kesembuhan saya, suami dan keluarga. Alhamdulillah, atas keberkatan doa, saya dan suami kembali sihat," katanya.

Berita Harian X